Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan pihaknya tunduk kepada tuntutan yang dibuat oleh penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diusir susulan penyelesaian semalam.

Penyelesaian secara baik itu menyaksikan 11 keluarga, yang sebelum ini membantah pengusiran berkenaan, bersetuju untuk berpindah dari unit kos rendah tersebut, yang mereka tidak lagi layak untuk menyewa.

"Kami tidak kowtow (tunduk) kepada sesiapa sahaja. Tiada tuntutan yang dibuat oleh penduduk yang kami tunduk.

"Kami berunding secara langsung dengan penduduk tanpa melalui mana-mana pihak ketiga," kata Exco Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo pada sidang akhbar di George Town hari ini.

"Malah, kami gembira penduduk bersetuju untuk menerima tawaran kami," katanya.

Jagdeep mengulas dakwaan oleh aktivis yang berkata penyelesaian semalam adalah "kemenangan rakyat" dan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tunduk dengan tuntutan penduduk yang diusir itu.

Sejak 6 Mei lalu, pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja pengusiran membabitkan 22 penduduk di Taman Manggis di Jalan Burma. Lima keluarga yang tidak berpuas hati kemudiannya bertindak ‘berkhemah’ di Komtar sebagai membantah pengusiran itu.

Komtar menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mengiringi Jagdeep pada sidang akhbar hari ini adalah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, ahli exco negeri Abdul Halim Saad, Chong Eng, Dr Afif Bahardin dan Yeoh Soo Hin.

Chow menyifatkan penyelesaian itu sebagai satu "pencapaian" dan berkata bahawa 22 unit berkenaan kini boleh diberikan kepada pihak yang memerlukan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan audit berkala terhadap penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu untuk melihat sama ada mereka masih layak menghuni unit di situ atau sudah hilang kelayakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya perlu memastikan pemohon PPR adalah mereka yang benar-benar layak kerana senarai menunggu bagi permohonan PPR di negeri itu meningkat setiap tahun dan kini mencecah 1,137 permohonan.

"Itu adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri. Penyewa mesti faham tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri. Kita tidak mempunyai bekalan PPR yang mencukupi di mana saya telah nyatakan Pulau Pinang adalah satu daripada kerajaan negeri yang mempunyai PPR yang terendah di seluruh Malaysia.

"Saya perlu memberi ruang kepada mereka yang sudah lama berada dalam senarai menunggu. Ada (pemohon) yang sudah menunggu lebih daripada 10 ke 11 tahun. Saya nasihatkan kalau ada penyewa-penyewa di sana yang sedar dan tahu mereka memang sudah hilang kelayakan sila datang bincang bagaimana boleh naik taraf status mereka," katanya pada sidang media, di George Town hari ini.

Beliau menasihatkan mereka yang telah hilang kelayakan menghuni unit PPR untuk mengemaskinikan status mereka supaya dapat diberi keutamaan untuk mendapatkan kategori-kategori perumahan lain yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

"Apabila seseorang itu hilang kelayakan untuk terus menghuni PPR, itu tidak bermaksud dia tidak layak kepada kategori-kategori perumahan yang lain, seperti rumah kos rendah, kos sederhana rendah atau rumah mampu milik," katanya.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata isu lima keluarga yang mengadakan bantahan di Komtar susulan 22 penyewa unit PPR Taman Manggis, diarah mengosongkan unit kediaman itu telah selesai apabila mereka bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri.

Beliau berkata dua daripada keluarga itu bersetuju menerima tawaran rumah kos rendah berharga RM42,000 melalui skim sewa beli untuk tempoh 20 tahun manakala satu lagi keluarga bersetuju membeli sebuah rumah kos sederhana rendah berharga RM72,500 di daerah Timur Laut.

"Empat daripada mereka (keluarga penyewa terlibat) sudah keluar secara sukarela, tiga lagi dalam pertimbangan kerana mereka memohon unit-unit perumahan lain dan sebuah keluarga tidak ditawarkan kerana didapati sublet (menyewakan semula unit yang disewakan kepada orang lain). Manakala selebihnya akan dipertimbangkan untuk diberi keutamaan bagi projek perumahan yang lain,” katanya.

Isu itu bermula apabila 22 buah keluarga di perumahan itu diarah mengosongkan unit sewaan mereka 6 Mac lepas kerana melanggar syarat penyewaan dan lima daripada kumpulan keluarga yang terlibat bertindak mengadakan bantahan di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu.