Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian wajibkan vaksin meliputi aspek pengecualian, pampasan

PARLIMEN | Kajian kebolehlaksanaan berkenaan mewajibkan vaksin terhadap bayi dan kanak-kanak akan meliputi isu pengecualian terhadap peraturan itu, kaedah membuat laporan terhadap kesan buruk selepas imunisasi (AEFI) serta aspek pampasan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata hasil kajian itu - yang dilaksanakan oleh pasukan petugas dianggotai pelbagai agensi - akan dibentangkan kepada kabinet.

"Andai kita mahu mandatorikan imunisasi (vaksin), sememangnya kita akan mengambil kira apakah ada - atau boleh - diberikan pengecualian.

"Dan andai berlaku sebarang kesan buruk, apakah kita ada mekanisme pampasan," katanya menjawab Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bertentangan dengan pandangan kumpulan antivaksin, Pertubuhan Kesihatan Dunia mentakrifkan AEFI sebagai sebarang kejadian perubatan tak diingini yang berlaku selepas vaksinasi tetapi tidak semestinya berpunca daripada penggunaan vaksin tersebut.

Disokong 20 NGO

Dzulkefly berkata lagi, pasukan petugas itu sudah mendapat sokongan rasmi kira-kira 20 NGO, termasuk yang mewakili pengamal perubatan homeopati yang biasanya dianggap bersikap skeptikal terhadap perubatan moden.

Di peringkat pelaksanaan, katanya, penguatkuasaan vaksin mandatori memerlukan pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya lagi, kerajaan juga akan memastikan bekalan vaksin yang mencukupi di hospital kerajaan dan swasta selepas langkah itu dilaksanakan.

Kebangkitan sentimen dan gerakan antivaksin di Malaysia dan luar negara dikaitkan dengan kemunculan semula penyakit seperti difteria dan measles, yang dahulu telah dihapuskan melalui vaksin.

Lihat Komen
ADS