Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa bentang Akta Keharmonian Nasional

Ahli parlimen PH menggesa kerajaan untuk menghidupkan semula rancangan untuk membentangkan Akta Keharmonian Nasional yang pernah dicadangkan lebih lima tahun lalu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkata beliau bersetuju dengan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang mencadangkan langkah perlu diambil untuk menangani isu perkauman dan kebencian agama.

"Saya amat bersetuju dan saya juga mencadangkan supaya kerajaan bentang Rang Undang-Undang (RUU) Keharmonian Kaum yang telah dibentangkan beberapa sesi parlimen lepas.

"Justeru, Akta Keharmonian Kaum ini amat penting untuk kita angkat kembali supaya kehidupan masyarakat Malaysia tidak mengenal bangsa keturunan dan juga agama dapat hidup bersatu dan dapat hidup bersama-sama," kata Hasan dalam ucapannya di parlimen.

Ketika menujukan soalan kepada Hasan, Tuan Ibrahim memetik perumpamaan 'Taliban' yang digunakan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sebagai contoh ucapan yang perlu ditolak.

Tuan Ibrahim juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk meminda atau menghapuskan Akta Hasutan.

Hasan bagaimanapun mengingatkan agar pemimpin pembangkang tidak menggunakan istilah 'kafir harbi'.

"Semua pihak janganlah bangkitkan isu-isu yang boleh menyebabkan perpaduan kaum ini tercemar," katanya.

Selepas mengambil alih kerajaan pusat, PH mengumumkan mahu menyemak semula Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan pentadbiran BN sebelum itu.

RUU itu merupakan salah satu daripada tiga yang didraf oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC), selain RUU Kebencian Kaum dan Agama dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof sebelum ini berkata kerajaan akan membentangkan Akta Antidiskriminasi, Akta Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, serta Akta Kebencian Kaum dan Agama tahun ini.

Lihat Komen
ADS