Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis usaha bawa pulang 51 rakyat Malaysia di Syria

Pihak polis sedang berusaha membawa pulang 51 rakyat Malaysia yang meninggalkan negara untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria, kata Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Ayob, daripada jumlah tersebut, 23 sudah dikenalpasti, di mana 11 daripadanya terdiri daripada golongan dewasa, manakala 12 lagi merupakan kanak-kanak.

"Mereka berhubung dengan keluarga dan keluarga mereka hubungi kita. Kita sedang berusaha nak bawa balik. Yang pasti, kalau lelaki kita akan tangkap buat soal siasat, yang wanita dan kanak-kanak kita akan tengok kes demi kes (kerana) ada di kalangan wanita ini mereka terpaksa ikut suami mereka untuk ke Syria.

"Pakar kaunseling, ustaz dan kita (PDRM) akan nilai mereka dan jika puas hati mereka tidak terlibat, kita akan bebaskan tapi kita masih pantau," katanya pada sidang media selepas berucap di Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk di Dewan Brunsfield, Jalan Wisma Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status perundingan membawa pulang rakyat Malaysia di Syria.

Sebelum ini, laporan Al Jazeera memetik Ayob sebagai berkata, rakyat malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di luar negara akan dibenarkan pulang ke tanah air sekiranya mereka bersetuju untuk menjalani sebulan program pemulihan yang dijalankan kerajaan.

Militan Negara Islam (IS) kini berdepan kekalahan di bekas kubu kuatnya di Iraq dan Syria, di tangan tentera Syrian Democratic Forces (SDF) yang mendapat bantuan AS - yang seterusnya memaksa militan IS dan keluarga mereka cuba kembali ke tanah air masing-masing.

Menurut Al Jazeera, sekurang-kurangnya 102 rakyat Malaysia dikenal pasti meninggalkan negara untuk menyertai IS, di mana daripada jumlah itu, 40 terbunuh ketika pertempuran di Iraq dan Syria.

Manakala sembilan daripada mereka merupakan pengebom bunuh diri.


Lihat Komen
ADS