Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat Sabah lompat Bersatu: Dr M nak tutup Umno - Penganalisis

Kemasukan wakil rakyat Sabah beramai-ramai menganggotai Bersatu jelas dapat mengukuhkan parti serpihan Umno itu, sekaligus dapat mencapat matlamat Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan ingin melihat Umno ditutup.

Penganalisis politik Prof Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tindakan Bersatu menerima wakil rakyat Sabah itu merupakan strategi yang tepat kerana amat penting bagi 'parti bunga' itu meluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak.

"Saya kira kemasukan lima ahli Parlimen dan lapan Adun berserta ratusan lagi ahli Umno ke dalam Bersatu adalah strategi Mahathir untuk Bersatu serta keinginan kepada penyatupaduan Melayu yang lebih utuh, sekaligus selari dengan objektif Mahathir mahukan Umno ditutup," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 15 Mac, empat MP, dua orang senator dan dua Adun dari Sabah diterima keanggotaannya secara rasmi ke dalam Bersatu.

"Pengukuhan Bersatu boleh dilihat sebagai mengukuhkan Pakatan Harapan jika keseimbangan dalam PH itu adalah setara, tetapi ianya boleh bersifat sebaliknya jika pergeseran ideologi dan prinsip (clash of ideology and prinsiples) dalam kalangan PH tidak dirawat.

"Mahathir perlu mengukuhkan Bersatu kerana dalam PH, Bersatu masih sebuah parti kecil dan lemah. Mengambil seramai mungkin wakil rakyat amat diperlukan," katanya.

Shafie tak akan duduk diam

Pandangan ini turut disokong Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang menjangkakan akan berlakunya pergeseran di kalangan parti komponen di dalam PH.

Katanya, perdana menteri berusia 93 tahun itu sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu bersetuju Bersatu tidak berhasrat untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.

"Sebagaimana pendirian Mahathir yang berubah daripada awalnya tidak berhasrat untuk ke Sabah dan kemudiannya mengubah pendiriannya masuk ini, membuktikan bahawa Dr Mahathir sendiri mempunyai impian dan juga keinginan untuk menambahkan jumlah kerusi Bersatu di Sabah.

"Secara tidak langsung, ini akan beri ancaman kepada Warisan. Saya tidak fikir bahawa (Presiden Warisan) Shafie Apdal dapat duduk selesa dengan kehadiran Bersatu di situ," katanya.

Namun, pada 18 Februari, Shafie yang juga ketua menteri Sabah itu berkata Warisan tidak boleh menghalang Bersatu jika parti itu benar-benar berhasrat melebarkan sayapnya ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Mahathir berkata, langkah Bersatu membuka cawangan di situ untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan, bukan menentangnya.

Bagaimanapun, Jeniri yakin Shafie tidak akan duduk diam dengan Bersatu yang sedang meluaskan pengaruhnya ke Sabah.

"Dia (Shafie) akan berusaha untuk mengekang kehadiran Bersatu dan pada waktu yang sama mengukuhkan kedudukan Warisan.

"Dia punya segala kekuatan dan juga segala jentera untuk pastikan Warisan akan tetap kukuh di situ walaupun ada usaha Bersatu untuk memasuki wilayah atau pun pengaruh menghakiskan pengaruh Warisan di situ.

"Kerana kekuatan Shafie tidak boleh diketepikan. Selepas Dr Mahathir tidak lagi jadi perdana menteri, jadi pengerusi PH dan Bersatu, sudah pasti kekuatan akan kendur," katanya.

Kredit kepada Umno 

Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat, tindakan itu bukan sahaja mengundang suasana dingin dalam parti komponen PH, malah ia memberi kredit kepada Umno.

Menurut Awang Azman, Umno yang dipimpin Mohamad Hasan kini berpeluang melakukan "pembersihan" di dalam parti itu.

"Umno dapat melakukan pembersihan dan hanya yang setia pada parti serta perjuangan akan kekal dalam Umno.

"Saya kira bukan sahaja pihak pembangkang akan memainkan isu ini untuk memecahbelahkan PH, akan tetapi, PKR juga.

"Ini supaya dapat memainkan isu ini secara dalaman bagi memberi tekanan kepada Dr Mahathir untuk lebih cepat berundur dan (Presiden PKR) Anwar ibrahim cepat digantikan dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Untuk rekod, Mahathir menjanjikan agar Anwar akan menggantinya sebagai perdana menteri ke-8 selepas dua tahun beliau mentadbir kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai pemindahan wakil rakyat Umno ke Bersatu itu, Awang Azman menyifatkan tindakan yang dilihat sebagai mengukuhkan parti itu sebenarnya bersifat sokongan palsu (pseudo support).

Beliau berkata ini disebabkan sebahagian besar penduduk di kawasan parlimen yang diwakili oleh wakil rakyat yang beralih arah kepada Bersatu itu sebenarnya masih lagi kuat menyokong Umno.

"Ini akan menyebabkan kedudukan Bersatu tidak begitu kuat berdepan dengan PRU ke-15 nanti.

"Tindakan ini hanya mengukuhkan PH secara palsu (artificial) atau di atas kertas. Namun, hakikatnya kesannya minima dalam mengukuhkan PH," katanya.

129 anggota parlimen

Dengan perkembangan ini, Bersatu memiliki 26 anggota parlimen, menjadikan PH kini mempunyai 129 MP di Dewan Rakyat.

Empat MP yang menyertai ke Bersatu ialah Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Sementara dua Adun Sabah yang menyertai Bersatu ialah Hajiji Haji Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan).

Senator Abd Ghani Mohamad Yassin dan John Ambrose yang dilantik menjadi ahli Dewan Negara pada Januari lalu juga diterima keanggotaannya ke dalam Bersatu.

Ambrose, bekas ketua Umno bahagian Penampang sering dirujuk sebagai simbol kemajmukan Umno kerana beliau seorang Kadazan beragama Kristian.

Lihat Komen
ADS