Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bagi memastikan Harimau Malaya tidak pupus, kerajaan mengisytiharkan 'perang' terhadap pemburu haram.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata pihaknya akan menggiatkan lagi usaha untuk membanteras pemburu haram di tiga kawasan hutan simpan utama.

"Masa telah tiba untuk menghentikan pembunuhan Harimau Malaya dan hidupan liar yang lain oleh pemburu haram yang tidak berhati perut! Hari ini, pada Hari Hidupan Liar Sedunia saya mengisytiharkan perang terhadap pemburu haram!" kata Dr Xavier Jeyakumar pada sidang media sempena Hari Hidupan Liar Kebangsaan 2019 di Cheras hari ini.

Jelas Xavier, petugas khas yang terdiri daripada pelbagai agensi sudah dikenal pasti untuk dikerahkan di Taman Negara di Pahang, Taman Negeri Royal Belum di Perak dan Taman Negara Endau Rompin di Johor.

"Dalam meningkatkan usaha bagi memastikan perlindungan kepada Harimau Malaya, kerajaan akan meningkatkan jumlah peronda di bawah Program Perlindungan dan Pemantauan Harimau.

"Kementerian melalui Jabatan Perhilitan bersama pihak tentera dan polis, akan menggiatkan kempen ini melalui program Boots on The Ground menyasarkan kawasan panas untuk melindungi habitat harimau," katanya.

Menurut Xavier, kementeriannya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar akan memulakan kempen 'Selamtkan Harimau Malaya' selama dua tahun sebagai sebahagian usaha untuk menangani penurunan populasi spesis itu.

"Jika kita tidak bertindak sekarang untuk melindungi Harimau Malaysia, saya bimbang spesis itu yang merupakan warisan dan kebanggaan kita akan pupus sehingga anak-anak dan cucu kita hanya mampu melihat haiwan ini di zoo atau gambar," kata Xavier.

Program hari ini juga merupakan pra-pelancaran kempen 'Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020'.

Dalam tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2018, jelas Xavier, lebih 1,000 operasi dijalankan dan 3,500 jerat dimusnahkan.

"Sebanyak 162 penceroboh yang terdiri daripada 98 orang tempatan dan 64 orang asing ditahan atas kesalahan jenayah hidupan liar.

"Bagaimanapun, dalam tempoh itu, sedih untuk dimaklumkan bahawa 14 harimau didapati telah terjerat atau dibunuh," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS