Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bodek-membodek tak berbangkit, kata Hadi itu kebenaran'

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mempertahankan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang tegas.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang berkata PAS tidak perlu bodek perdana menteri.

"Bodek-membodek ini saya rasa tak berbangkit, apa yang dikatakan tok guru (Abdul Hadi) itu kebenaran.

"Tak ada (niat), kalau bodek pun nak ke mana juga?" katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kita Bharu, hari ini.

Anwar semalam membuat kenyataan itu susulan Abdul Hadi yang menegaskan Dr Mahathir bukan seorang pemimpin diktator, sebaliknya seorang yang tegas, terutamanya dalam menghadapi "kabinet yang lemah".

"Saya nak komen tentang kenyataan yang katakan Dr Mahathir diktator.

"Itu bukan diktator, itu tegas, kerana beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya dan PH yang pilih dia. Bukan dia lantik diri sendiri.

"Apa yang penting ialah ketegasan. Tegas menghadapi ahli kabinet yang lemah. Itu bukan diktator, itu suatu yang perlu bagi pemimpin perlu tegas menghadapi ahli kabinet yang lemah," kata Abdul Hadi kepada pemberita di parlimen semalam sebagai mengulas kenyataan ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang dilapor media Singapura yang antara lain menyifatkan Dr Mahathir sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan".

Sementara itu Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS turut mengakui bahawa Mahathir seorang yang tegas.

"Ya (tegas), sebagaimana sokongan yang diberikan oleh tok guru haji Hadi," jelasnya.

Ditanya pendapatnya mengenai kenyataan Nurul Izzah, Ahmad berkata, perkara itu timbul susulan kelemahan dalam pentadbiran PH.

"Bagi saya itu kelemahan dalaman PH. Kelemahan dibaca oleh masyakat dalam (pentadbiran) PH," katanya.

Lihat Komen
ADS