Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan belanja RM14 juta selenggara Equanimity sejak Ogos
Diterbitkan:  Mar 28, 2019 11:06 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM14.22 juta bagi penyelenggaraan kapal layar mewah Equanimity sejak ia diserahkan pada Ogos lalu.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Parlimen semalam berkata, RM11 juta dibelanjakan untuk kos penyelenggaraan, pembaikan, bahan api, guaman, insurans serta kos berkaitan proses penjualan kapal, sejak Ogos hingga Disember 2018.

Baki RM3.22 juta pula adalah kos untuk Januari hingga Mac tahun ini, katanya lagi.

"Sebuah syarikat pengurus kapal iaitu Wilson Yacht Management Ltd telah dilantik pada Ogos 2018 bagi menyelenggara Equanimity. Pelantikan dibuat berdasarkan pengalaman serta kepakarannya menyelenggara kapal mewah.

"Kapal layar Equanimity kini berada di Langkawi di bawah jagaan dan kawalan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya, menjawab soalan Anggota Parlimen Tanjung Karang Noh Omar berkenaan kos penyelenggaraan dan sebab kapal itu masih disimpan kerajaan.

Kerajaan berhasrat menjual kapal itu menerusi bidaan tetapi dikatakan berdepan masalah mendapatkan harga yang disasarkan, iaitu AS$100 juta ke atas.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata proses penjualan kini memasuki fasa kedua.

"Fasa ini dibuat secara jualan terus (private treaty/direct sale) dan dijangka berakhir pada 31 Mac ini," katanya.

Kapal milik ahli perniagaan dalam buruan Jho Low itu dirampas pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas dipantau selama lapan hari, pada Februari 2018.

Kapal itu didakwa diperoleh menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dmendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada syarikat itu.

Lihat Komen
ADS