Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Husam Musa sah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Perkara itu disahkan melalui majlis penyampaian watikah pelantikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub di Ibu pejabat Kada, di Kota Bharu, hari ini.

Ia sekali gus mengesahkan artikel Malaysiakini pada 29 Mac lalu yang melaporkan naib presiden Amanah itu bakal mengetuai agensi tersebut. 

Salahuddin berkata, pelantikan Husam yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu adalah pemilihan yang tepat berdasarkan pengalaman luas dimiliknya.

"Ini adalah merupakan proses yang kita lalui dan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan ini dan saya harap ia akan dapat memastikan urus tadbir dan pembangunan Kada dilestarikan.

"Beliau seorang anak jati Kelantan dan berpengalaman luas dalam pentadbiran termasuk berpengalaman sebagai exco kanan kerajaan negeri pada satu masa dahulu," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi Kada di Ibu Pejabat Kada, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Salehhuddin Hassan.

Sementara itu, Husam berkata beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan pelantikannya.

Katanya, susulan pelantikan itu beliau akan memberi perhatian segera terhadap isu yang dihadapi pesawah di kawasan Kada bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

"Di Kelantan, satu pertiga daripada kawasan Kada mengalami masalah kekurangan air melibatkan sekitar 2,500 orang pesawah. Ini akan menyebabkan pendapatan mereka sedikit sebanyak akan merosot.

"Oleh kerana saya masih baru dan belum biasa sepenuhnya di sini, tetapi rakan-rakan pengurusan Kada mempunyai pengalaman dan saya rasa mereka boleh membantu untuk mengatasi masalah ini," jelasnya.

Lihat Komen
ADS