Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low sindir PH 'jual murah' Equanimity
Diterbitkan:  Apr 3, 2019 6:21 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Ahli perniagaan Jho Low membidas kerajaan Malaysia berhubung penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga yang digambarkannya sebagai murah.

"Penjualan kapal layar itu merupakan babak akhir dalam satu lagi kisah rejim Dr Mahathir Mohamad yang tidak berkebolehan dan mengabaikan kedaulatan undang-undang," kata Jho Low melalui jurucakapnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan guamannya hari ini.

Menurut Jho Low, Equanimity, yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diseleweng dari 1MDB, akan mampu mengekalkan nilainya dan tidakp perlu dilelong jika kerajaan tidak menyita "secara haram" dari kerajaan Indonesia dan meletakkannya di Pelabuhan Klang yang menurutnya mempunyai persekitaran yang tidak selamat.

Kapal layar itu kemudian ditawarkan untuk dilabuhkan di Langkawi.

"Hasil dari jualan kapal layar itu akan lebih terjejas oleh perbelanjaan penyelenggaraannya - yang dilaporkan AS$3.5 juta (RM14.3 juta).

"Kerajaan Mahathir mengambil masa dua kali lebih lama berbanding yang dijanjikan untuk menjual kapal layar itu, bidaan tidak berjaya dan proses penjualan 'telus' kerajaan Mahathir menyaksikan perubahan tiba-tiba.

"Kerajaan Mahathir sudah menunjukkan mereka bersedia untuk tidak menghiraukan nilai Equanimity dalam serangan terburu-buru ke atas seteru politik mereka," kata Jho Low lagi.

Ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu juga berkata, perkara sama turut dapat dilihat dalam prestasi PH dalam pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

"Seperti yang kami sudah katakan dari awal, ini merupakan aksi PR (hubungan awam) yang gagal, yang dengan angkuh mengabaikan keputusan mahkamah di Indonesia dan mewujudkan prosiding undang-undang di AS," katanya.

Awal hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa Equanimity dijual kepada Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Jelas Thomas, tawaran Genting merupakan yang tertinggi sejak kapal layar itu mula dibuka untuk jualan lima bulan lalu dan menggambarkan penjualan itu sebagai "sangat memuaskan".

Peguam negara itu juga mendedahkan bahawa tiada komisen yang dibayar untuk transaksi, kerana tawaran Genting dirunding secara terus dengan kerajaan, dan bukannya melalui agen. Langkah itu, menurut Thomas, membolehkan penjimatan kira-kira AS$4.4 juta.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS