Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tiada cadangan pinda undang-undang larang penukaran agama satu pihak’

Kerajaan tidak bercadang untuk memasukkan Seksyen 88A, yang akan menghalang penukaran agama seseorang kanak-kanak di bawah umur sekiranya salah seorang ibu bapa menukar ke agama lain dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Ini kerana kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, Pejabat Peguam Negara menyimpulkan bahawa mahkamah sebagai badan kehakiman mempunyai kebebasan untuk mentafsirkan sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan.

Beliau berkata keputusan mahkamah persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan yang membatalkan penukaran satu pihak melibatkan lima kanak-kanak bawah umur pada 2018.

“Sehubungan dengan itu, cadangan untuk memasukkan Seksyen 88A telah diteliti semula bersama dengan AGC.

“Hasil penelitian tersebut menyimpulkan bahawa Mahkamah sebagai Badan Kehakiman mempunyai kebebasan untuk mentafsirkan sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan.

“Justeru, kerajaan tidak bercadang untuk memasukkan semula Seksyen 88A ke dalam Akta 164,” katanya.

Muhyiddin menjawap soalan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu bentuk kajian oleh kerajaan dalam usaha meminda Seksyen  88A.

Kerajaan BN sebelum ini pernah mencadangkan untuk memasukkan Seksyen  88A dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian)  2016. Walau bagaimanapun, Seksyen 88A itu kemudiannya dikeluarkan berikutan pelbagai bantahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan tidak bercadang memasukkan semula Seksyen 88A berkaitan status penukaran agama anak berumur di bawah 18 tahun ke dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata seksyen tersebut iaitu peruntukan untuk melarang penukaran agama anak tanpa persetujuan bersama ibu bapa telah digugurkan daripada Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 kerana bercanggah dengan peruntukan di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini adalah selaras dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama individu berumur bawah 18 tahun boleh ditentukan secara unilateral oleh ibu, bapa atau penjaga," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu bentuk kajian yang sedang dilakukan kerajaan berkaitan Fasal 88A.

Berhubung dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi pada 2018, Muhyiddin berkata kementeriannya sedia maklum mengenai pembatalan penukaran agama secara ‘unilateral conversion’ bagi lima individu berumur bawah 18 tahun.

"Sehubungan dengan itu, cadangan untuk memasukkan Seksyen 88A telah diteliti semula bersama dengan Jabatan Peguam Negara.

"Hasil penelitian tersebut menyimpulkan bahawa Mahkamah sebagai Badan Kehakiman mempunyai kebebasan untuk mentafsirkan sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan," kata Muhyiddin.

Menurutnya, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) merupakan undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri bagi mengawal selia perkahwinan monogami dalam kalangan individu bukan beragama Islam.


Lihat Komen
ADS