Harga petrol, diesel kekal
Harga runcit bahan api kekal seperti minggu lalu, dengan petrol RON95 pada paras RM2.08 seliter manakala RON97pula pada RM2.63 seliter.
Harga runcit diesel juga tidak berubah pada paras RM2.18 seliter.
Harga itu akan diguna pakai sehingga 12 April.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, berdasarkan pengiraan mengikut formula mekanisme harga automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 6 April 2019 sehingga 12 April 2019 sepatutnya sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.36 seliter masing-masing iaitu sama dengan harga minggu sebelumnya.
“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kata kenyataaan itu.
Kerajaan memperkenalkan semula kaedah apungan harga mingguan bagi petrol dan diesel mulai 1 Januari 2019 menggunakan formula APM.
Pada 27 Februari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan kabinet akan mengurangkan harga siling dari RM2.20 ke RM2.08 seliter.




