Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri menerima permohonan maaf oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Malah pihaknya mengucapkan syukur kerana Azhar mengakui kesilapan dan sanggup memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata.

"Syukur alhamdulillah kita menerima permohanan maaf beliau," katanya ringkas kepada media ketika hadir Seminar Hala Tuju Industri Mineral Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permohonan maaf Azhar selepas membuat kenyataan kontroversi berkaitan pengundi Kelantan yang tinggal di luar negeri itu.

Pada 5 April lalu, Malaysiakini melaporkan Azhar membuat permohanan maaf secara terbuka kepada pengundi Kelantan berhubung kenyataannya mengenai isu yang melibatkan pengundi luar negeri itu.

Meskipun tidak menghuraikan secara terperinci perkara itu, namun ia dipercayai berhubung kenyataannya yang melabel orang Kelantan di Kuala Lumpur sebagai 'kaki kelab malam.'

Azhar pada akhir bulan lalu dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan bagi pendaftaran pengudi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat pada awal dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Beliau berkata, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk menyokong hudud, sedangkan pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Kenyataan itu sebelum ini mendapat respons daripada Ahmad yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghinaan kepada seluruh rakyat negeri berkenaan

Sementara itu, Ahmad mengucapkan terima kasih kerana ucapan maaf itu sekaligus membersihkan nama baik anak Kelantan di dalam dan luar negeri.

Lihat Komen
ADS