Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Statut Rom: Sultan Johor ucap terima kasih pada kerajaan
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 6:45 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan susulan keputusan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara rakyat untuk membatalkan perjanjian Statut Rom yang telah ditandatangani Mac lalu.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kerana menghormati dan menerima Majlis Raja-raja," titahnya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman berkenaan perkara itu dalam sidang media pada 5 April lalu.

Sidang media itu dibuat selepas mesyuarat kabinet dan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad di Istana Negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda akan sentiasa memastikan kedaulatan negara dan keharmonian hidup rakyat dipelihara.

"Saya berharap kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik," titahnya lagi.

Puteranya Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara pihak yang paling lantang mengkritik langkah kerajaan menandatangani Statut Rom dan mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana memberi kesan terhadap institusi beraja, hak-hak Melayu dan kesucian Islam di Malaysia.

Untuk rekod, Statut Rom ICC menyentuh empat jenayah utama antarabangsa - pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Dalam sidang media 5 April itu, Mahathir berkata langkah kerajaan bukan kerana statut itu menjejaskan negara, tetapi kerana kekeliruan dari segi politik dan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata kekeliruan itu dicipta oleh orang tertentu "yang ingin bebas memukul orang dan melakukan perkara seperti itu".

Beliau juga mendakwa ada usaha untuk membuatkan raja-raja menentangnya.

Ketika ditanya sama ada Mahathir merujuk kepada mana-mana pihak politik, Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam berkata perdana menteri mungkin merujuk "personaliti tertentu dari sebuah kerabat diraja".

“Ia jelas bagi saya, sebab ketika saya berbincang dengan beliau, beliau ada huraikan,” kata Anwar. 

Baca'Sebab ada orang nak memukul sesuka hati' - Transkrip penuh Dr M

Lihat Komen
ADS