Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK RANTAU | Selepas Mohamad Hasan didakwa memiliki banglo bernilai RM6 juta, kini tular pula tuduhan pencabar bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, Dr S Streram turut mempunyai rumah besar.

Streram yang juga timbalan pengerusi PKR Rembau didakwa memiliki rumah besar - yang turut dilengkapi kolam renang - bernilai RM7.8 juta di Klang, Selangor.

Bagaimanapun Streram menafikan dakwaan tersebut.

"Saya tak ada rumah yang ada kolam renang. Apa yang ditularkan di WhatsApp dan Facebook adalah berita palsu," katanya kepada media hari ini.

Menurut doktor yang pernah berkhidmat secara sukarela di beberapa negara luar termasuk Syria dan Afghanistan itu dia adalah orang biasa yang tidak pernah menjadi menteri besar.

Rumah yang ada, katanya, dibeli hasil pendapatannya yang sederhana dan menjadikan kediaman itu untuk tinggal bersama keluarganya.

Justeru, kata Streram, bangunan yang di Klang itu tiada kaitan dengannya.

Beri momentum buat PH

Pada masa sama Streram tidak menolak kemungkinan tuduhan berkenaan sengaja dibangkitkan oleh pihak tertentu selepas dia meminta Mohamad menjelaskan 'Rumah Minangkabau' yang tular lebih awal.

Berita mengenai rumah mewah itu muncul beberapa hari selepas Mohamad mendakwa beliau terlupa membeli rumah sendiri semasa menjadi menteri besar sebelum ini.

Mohamad bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan banglo tersebut adalah miliknya.

Gambar dari udara bangunan didakwa milik Mohamad

"Semalam saya bangkitkan isu rumah dan minta beliau (Mohamad) jelaskan. Tapi, saya bukan nak tak tuduh dia sebaliknya minta dibuat penjelasan.

"Sekarang orang tuduh saya balik. Kesiannya, mereka salah rumah," kata Streram.

Tambahnya dia sendiri tidak ada maklumat mengenai siapa pemilik sebenar rumah yang dikaitkan dengannya itu.

"Saya tak tahu rumah siapa tapi yang pasti ia bukan rumah saya. katanya sambil mengesahkan akan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menularkan gambar tersebut.


Baca 'Check' la kalau rumah saya, kata Mat Hasan


Sebelum itu Streram melawat sebuah keluarga di Taman Angsamas yang menyerahkan borang keanggotaan PKR selepas menjadi penyokong Umno dulu.

"Saya diberitahu bahawa saudara-mara keluarga ini juga pengundi DUN Rantau dan berminat menyertai PKR.

"Mereka dalam 30 orang. Walaupun angka ini mungkin kecil, tapi ia tetap memberi momentum kepada PH dan menunjukkan kami semakin diterima pengundi termasuk kalangan orang Melayu," katanya.

Lihat Komen
ADS