Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata kegagalan pihak kerajaan meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak membuktikan tindak-tanduknya yang melulu.

Ini selepas Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga anggota parlimen.

Menurut Khaled perkara itu memberi tamparan hebat kepada kerajaan semasa.

"Pertama, ia mendedahkan kepada masyarakat kegagalan kerajaan mengadakan proses rujukan atau rundingan yang jelas, teratur dan mencukupi sebelum usul itu dicadangkan.

"Ini termasuklah tidak merujuk kepada Select Committee parlimen berhubung perkara tersebut. Sebaliknya, usul ini dibuat secara sangat tergesa-gesa serta melulu," katanya dalam kenyataan.

Menurut Khaled, sudah menjadi norma dan kelaziman kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif.

"Kedua, kegagalan mendapat undian dua pertiga ini juga boleh ditafsir sebagai satu undi tidak percaya kepada kerajaan semasa. Adalah sangat jarang untuk sesuatu usul pindaan perlembagaan gagal.

"Amalan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini ialah untuk tidak membawa apa jua pindaan jika ia tidak yakin akan mendapat jumlah undi yang mencukupi terutamanya yang melibatkan pindaan Perlembagaan.

"Nyata kerajaan Pakatan Harapan telah hilang wibawa dan terus mengalami kesusutan kepercayaan yang signifikan.

Ketiga, katanya, keputusan parlimen semalam menunjukkan wakil rakyat enggan mengambil risiko membenarkan kerajaan melakukan sesuatu yang sangat kritikal dan penting kepada negara dalam saat kedudukan kerajaan yang 'sangat rapuh dan keliru'.

"Keempat, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membincangkan status Sabah dan Sarawak adalah antara tawaran utama dalam manifesto Pakatan Harapan. Namun apa yang diusulkan tidak lebih bersifat kosmetik dan luaran semata-mata.

"Ia jauh tersasar dari mengiktiraf aspirasi sebenar rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya.