Paling Popular
Terkini

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini menolak cadangan Umno Johor supaya dirinya menjadi menteri besar Johor bagi mengisi kekosongan berikutan perletakan jawatan, Osman Sapian, baru-baru ini.

“Saya dah tua dah," katanya secara berseloroh.

"Yang datang (cadangan) suara dari pihak Umno. Jadi dia fikir dia ada hak dan kuasa untuk menamakan saya. Saya tak rasa begitu.

“Saya dah pernah jadi menteri besar, saya tak fikir wajar saya kembali semula. Tapi saya sedia membantu.

"Saya sebagai bekas MB dan juga Adun Bukit Gambir, saya akan membantu siapa sahaja MB yang dipilih oleh Sultan untuk pastikan Johor terus maju ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke pangkalan udara Agensi Institut Maritim di Subang, petang ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan pemimpin pembangkang Johor Hasni Mohammad yang berkata beliau akan mencadangkan nama menteri dalam negeri itu sebagai menteri besar sewaktu beliau mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat ini.

Katanya, Johor sebuah negeri yang rumit dan tidak boleh mempunyai seorang menteri besar yang tidak berpengalaman.

Hasni juga mahu membincangkan kemungkinan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan jika cadangannya tidak diterima.

Osman meletakkan jawatan sebagai menteri besar Isnin lalu.

Muhyiddin juga berkata Bersatu sudah mempunyai beberapa nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi diangkat sebagai menteri besar.

“Mungkin dua atau tiga calon,” katanya.

Ditanya mengenai perbahasan berhubung kuasa memilih menteri besar, Muhyiddin berkata isu tersebut tidak sepatutnya dibahaskan kerana setiap negeri termasuk Johor mempunyai undang-undang tubuh negeri yang turut memperuntukkan tentang pelantikan menteri besar.

“(Peruntukan) Ini bukan baru kerana ia sudah zaman-berzaman dikuatkuasakan," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Umno Johor supaya Muhyiddin Yassin dilantik sebagai menteri besar negeri itu yang baharu, dengan mengatakan bahawa menteri dalam negeri tersebut mempunyai tugas lain yang perlu dilaksanakan.

“Parti yang menang (Pakatan Harapan) menamakan Menteri Besar bukan yang kalah...yang kalah duduk diam,” katanya ketika di tanya sama ada beliau akan menimbang cadangan Umno Johor supaya Muhyidddin, yang berpengalaman sebagai menteri besar dan timbalan perdana menteri memimpin kerajaan negeri itu.

Lihat Komen
ADS