Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MRL, CCCC tubuh JV urus, operasi dan selenggara ECRL - Dr M
Diterbitkan:  Apr 15, 2019 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju membentuk syarikat usaha sama (JV) 50:50 bagi mengurus, mengoperasi dan menyelenggara rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata ini susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) oleh MRL dan CCCC pada 12 April.

"CCCC bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL menerusi JV 50:50 (di mana) CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek siap," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata tindakan itu akan mengurangkan beban kewangan ke atas Malaysia, yang sebelum ini menanggung kos keseluruhan operasi dan penyelenggaraan (O&M).

"Selain itu, Malaysia juga boleh memanfaatkan kepakaran CCCC dalam O&M, sekali gus meningkatkan daya maju jangka panjang projek itu," katanya.

Beliau berkata kerajaan yakin penglibatan CCCC itu akan menarik dan merangsang pelaburan di sepanjang koridor laluan rel, terutama dari China.

Dr Mahathir berkata dalam perjanjian asal, peranan Malaysia dalam pembinaan tidak disebut, namun perjanjian baharu ini melibatkan penyertaan Malaysia.

Beliau berkata mengikut SA tersebut, peratusan penyertaan tempatan juga akan meningkat kepada 40 peratus menerusi kerja-kerja awam berbanding 30 peratus sebelumnya.

Ditanya sama ada ia melibatkan bayaran pampasan sejak projek mega itu digantung mulai Julai tahun lepas, Dr Mahathir berkata isu itu tidak disebut semasa rundingan.

"Kami akan meneruskan kerja seolah-olah tidak ada selang antara penghentikan pembinaan sebelum ini, dan permulaan pembinaan baharu," katanya.

Perdana menteri berkata pembinaan ECRL akan disambung semula secepat mungkin selepas penandatanganan SA dan dijangka selesai pada 31 Dis, 2026, daripada pelan asal pada 30 Jun, 2024.

"Mengenai pembayaran, kami akan membayar mengikut kemajuan pembinaan," katanya.

Menurut pernyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, perjanjian itu menggariskan penjajaran baharu sepanjang 640km.

"Penjajaran baharu itu akan mengelak pembinaan Terowong Genting dari Bentong ke Gombak sepanjang 17.8km.

"Ia akan menyediakan sambungan terus dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang akan menjadi jambatan darat antara kedua-dua pelabuhan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS