Kerajaan mengambil kira aduan dari penduduk Selangor dan Pahang semasa menyemak semula dan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Ini katanya, membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tekad dalam mempertahankan kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri juga sedia maklum akan bantahan dan aduan yang dikemukakan oleh penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan dan komersial.

“Cadangan ini juga telah mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri besar Selangor berkata bahawa jajaran baru ECRL baru turut mengambil kira bantahan kerajaan negeri supaya projek itu tidak melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak yang telah disenaraikan dalam senarai tentatif Warisan Dunia Unesco.

Permatang Kuartza sepanjang 16 km itu adalah antara yang terpanjang di dunia dan kerajaan negeri telah lama melobi supaya ia menjadi tapak warisan semulajadi.

“Keputusan kerajaan persekutuan untuk menyemak semula dan meneruskan projek ECRL merupakan tekad kerajaan dalam mempertahankan kepentingan rakyat melalui penjimatan lebih RM 21 bilion.

“Hakikat ini membuktikan bahawa kepimpinan yang berintegriti, tegas serta mengamalkan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab akan mencegah ketirisan dan kebocoran dalam pengurusan kewangan negara,” kata Azmin.

Menurutnya, keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ia akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bahawa projek ECRL akan diteruskan, dengan kos yang berkurangan sebanyak RM44 bilion, iaitu RM21 bilion kurang daripada kos awal sebanyak RM65.5 bilion.

Antara perubahan dalam perjanjian ECRL itu termasuk pengurangan kos pembinaan setiap kilometer daripada RM95.5 juta setiap kilometer kepada RM68.7 juta setiap kilometer serta mengubah jajaran kereta api itu.