Malaysiakini BERITA

Mohd Amar: K'jaan negeri pertimbang wakil dalam Kada

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Kelantan akan mempertimbangkan wakil untuk mengisi jawatan ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Beliau berkata ia jika ada permintaan daripada Kada, yang merupakan sebuah agensi kerajaan persekutuan.

"Sebelum ini tak ada langsung (wakil kerajaan negeri), memang tak dibuka kepada kita. Kita pun tak hantarlah.

"Kalau Kada minta kita akan pertimbangkan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi Kada yang baru dilantik, Husam Musa yang berkata lembaga itu setuju melantik wakil kerajaan negeri dalam lembaga pengarahnya.

Husam yang juga ahli Dewan Negara berkata idea itu daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

"Sekarang ini lembaga pengarah Kada belum dibentuk. Saya sangat bersetuju dengan idea itu dan insyaAllah satu kunjung hormat menteri dan saya kepada menteri besar akan dilakukan bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan petani-petani di Kelantan," katanya.

Sementara itu Mohd Amar mendakwa perkara itu sememangnya sudah termaktub dalam Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 1972.

"Setahu saya dalam Akta Kada, memang kena ada wakil negeri. Ini bukan satu tawaran (baru), sudah ada dalam peraturan.

"Jadi tak berbangkit soal dia tawar atau tidak," katanya yang juga naib presiden PAS.

Menurut Akta Kada 1972, lembaga pengarah terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi, ketua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, wakil Bank Pertanian Malaysia, wakil Lembaga Padi dan Beras Negara, tiga wakil negeri dan tidak lebih daripada tiga orang ahli lain.