Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik ketetapan dalam rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) iaitu penubuhan syarikat usaha sama antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) untuk menguruskannya.

“Cadangan pihak China terlibat dalam pengurusan ECRL tak wajar kerana ini adalah pengangkutan dalaman negara dan rakyat Malaysia ada kemampuan kendalikan seluruh sistem rel, sebab itu sebelum ini kita latih pekerja kita.

“Saya tak nampak di mana perlunya ada penyertaan negara asing mengendalikan sistem rel dalam negara,” katanya, memberi contoh Khazanah yang diberi kontrak pembinaan kereta api di Arab Saudi, yang menghubungkan Mina dan Muzdalifah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam rundingan semula perjanjian ECRL, CCCC setuju menubuhkan syarikat usaha sama 50:50 dengan MRL untuk mengurus, mengoperasi dan menyelenggara projek.

Dr Mahathir berkata tindakan itu akan mengurangkan beban kewangan ke atas Malaysia, yang sebelum ini menanggung kos keseluruhan operasi dan penyelenggaraan.

Jika ia diteruskan, kata Najib lagi, ia berisiko menjejaskan keselamatan negara kerana maklumat berkenaan keselamatan negara akan diketahui pihak luar.

"Sebaliknya kita jadi kontraktor utama, mereka boleh beri nasihat teknikal kepada kita.

"Tetapi untuk mereka kendalikan 50 peratus pengurusan pada saya tak wajar," katanya yang juga anggota parlimen Pekan.

Dalam pada itu, Najib turut membantah perubahan jajaran semula ECRL yang menurutnya menyebabkan masa perjalanan menjadi lebih lama.

Berbanding laluan asal yang menuju ke Bentong dan Gombak, jajaran baru akan menghala ke selatan dari Mentakab, melalui Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum masuk ke Selangor melalui Bangi/Kajang, seterusnya Putrajaya sebelum berhenti di Pelabuhan Klang.

"Dengan laluan baru yang elak Bentong dan Banjaran Titiwangsa, bererti matlamat perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dalam tempoh empat jam tidak boleh dicapai kerana penumpang terpaksa ke Putrajaya.

"Laluan ke selatan dan utara menyebabkan tempoh perjalanan bertambah satu atau dua jam lagi.

"Jika (tempoh perjalanan) hampir dengan menggunakan kereta, tak ada kelebihan guna ECRL," katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan projek ECRL diteruskan selepas rundingan semula dengan China dimuktamadkan, dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion.

'Permata dipolitikkan'

Selain itu, Najib turut mengulas penjenamaan semula Program Permata Negara (Permata) kepada Genius, yang menurutnya membuktikan kritikan Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU ke-14 tidak benar.

"Jika lepas PRU mereka iktiraf program ini amat baik untuk generasi akan datang. Jelas ia sengaja dipolitikkan mereka sebelum ini.

"Terima kasih kerajaan PH... Mereka beri perakuan program Permata menguntungkan generasi akan datang," katanya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini berkata, program Genius tetap mempunyai peranan sama tetapi beberapa programnya akan ditambah baik.

Lihat Komen
ADS