Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Air sungai berbuih, bau sabun bongkar kem, kubur di Wang Kelian
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

RCI WANG KELIAN l Penemuan air sungai berbuih dan berbau sabun di sebatang anak sungai membawa kepada penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Perkara itu dinyatakan saksi pertama Lans Koperal Mat Ten pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang memulakan prosidingnya di Putrajaya hari ini bagi menyiasat perkara berkenaan.

Mat memberitahu suruhanjaya itu bahawa beliau bersama Koperal Yusuf Islam Hasan sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada awal pagi 19 Januari 2015.

Semasa menyusuri sungai berkenaan, dia ingin mengambil air sungai untuk diminum sebelum diberitahu oleh Yusof yang air itu berbuih dan selepas dihidu, ia berbau sabun.

“Perasaan ingin tahu membuatkan saya mengajak Yusof bergerak ke hulu sungai dan ternampak seorang perempuan sedang membasuh pakaian.

"Jaraknya sangat dekat dan kami berada di sebalik batu di belakang wanita itu," katanya ketika menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali Khairul Anuar Abd Halim.

Mat berkata mereka berdua terus melakukan intipan untuk mendapat maklumat tepat sebelum melaporkan kepada pegawai atasan.

Susulan itu, beliau dan Yusof mengekori wanita tersebut sehingga ke satu kawasan di mana terdapat sebuah binaan rumah kayu dipercayai kedai dengan seorang lelaki sedang berbaring di atas buaian (hammock) di satu sudut berdekatan.

“Setelah dipastikan tiada sesiapa berada di kawasan binaan itu, saya memberanikan diri untuk membuka pintu.

"Di dalamnya ada banyak barangan makanan seperti beras, bawang, minyak masak, garam dan sardin yang tertera tulisan Thailand," katanya yang bertugas Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mat berkata selepas keluar dari bangunan itu beliau ternampak empat binaan seperti menara selain terdengar bunyi generator dan menyangka kawasan itu adalah tempat memproses dadah.

Dengan maklumat yang diperolehi, mereka kemudiannya turun ke pos kawalan untuk memaklumkan penemuan itu kepada pegawai atasan dikenali sebagai Joking.

Menurutnya, sekitar jam 12 tengah hari, Joking telah mengarahkan pasukan seramai 10 orang diketuai Inspektor Musaddid pergi semula ke lokasi penemuan pada 2 petang.

Sebaik sahaja menghampiri kawasan itu, Mat yang berada di barisan hadapan ternampak wanita yang ditemuinya di sungai pagi tadi sedang memegang telefon.

“Secara tiba-tiba telefon itu berbunyi seperti ada mesej yang masuk dan saya nampak air muka wanita itu berubah.

"Saya lihat wanita itu cemas, memerhatikan kawasan sekeliling sebelum kemudiannya menjerit "polis datang," kata Mat dan menambah mereka tidak bertentang mata ketika itu.

Mat yang kini berpangkat Koperal berkata beliau ternampak sekumpulan individu berlari keluar dari kawasan itu sebelum dia menjerit memaklumkan perkara tersebut kepada Musaddid.

“Setelah diperiksa, kami menemui enam individu dalam keadaan lemah di bahagian bawah pondok yang berkunci, manakala yang lain melarikan diri,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS