Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pandangan peribadi Adun Kemayan: Bukan dasar Umno, BN, kata Annuar
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, kenyataan Adun Kemayan, Mohd Fadli Osman yang mendakwa pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil adalah seperti "orang asing" adalah pandangan peribadi beliau.

“Ibu pejabat parti memahami seseorang ahli dewan mempunyai kebebasan dan kekebalan tertentu untuk bersuara atau memberi pandangan mereka sewaktu dalam persidangan.

“Namun suka diperingatkan bahawa ucapan Adun Kemayan itu adalah semata-mata pandangan peribadi beliau dan sama sekali bukan dasar dan pendirian parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar menegaskan bahawa kedudukan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) adalah sesuatu yang telah terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Umno dan BN akan tetap serta terus mempertahankan kedudukan SRJKC dan SRJKT.

“Justeru pemimpin parti diingatkan untuk menghormati dasar yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan tidak harus mempertikaikannya dalam bentuk yang memberi mesej yang salah dan mengelirukan.

“Diharapkan kekeliruan seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.

Annuar berkata satu surat akan dihantar kepada Mohd Fadli berhubung perkara itu.

“Adalah diharapkan tiada pihak yg cuba mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi kekeliruan berikutan kenyataan peribadi Adun Kemayan tersebut,” katanya.

Mohd Fadil pada Selasa lalu semasa sidang DUN Pahang mendakwa pelajar daripada sekolah aliran Cina dan Tamil adalah seperti "orang asing".

Katanya, walaupun mereka adalah rakyat Malaysia, pelajar berkenaan berkelakuan seperti "pendatang".

Lihat Komen
ADS