Badan Peguam 'bimbang' sabitan ke atas Arun Kasi
Badan Peguam Malaysia menyatakan rasa bimbang terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mensabitkan peguam Arun Kasi dengan kesalahan menghina mahkamah.
Presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata tindakan ke atas Arun akan menimbulkan persepsi terhadap sekatan wacana umum dan memburukkan lagi kekurangan panduan yang jelas tentang apa yang dianggap kesalahan menghina mahkamah.
Katanya kuasa mahkamah untuk menghukum sepatutnya digunakan secara berhati-hati dan tidak sepatutnya membawa kepada hukuman penjara kecuali nbagi "kes yang paling serius boleh dibayangkan".
"Setiap individu ada hak untuk memberi pandangan yang adil - selagi dalam batas dan berniat baik - pada sebarang hal berkaitan kepentingan awam.
"Kritikan terhadap keputusan mahkamah dalam batas-batas itu sama sekali tidak boleh dianggap sebagai penghinaan.
"Agar keputusan kehakiman bertahan, mereka mesti melepasi ujian pengawasan awam.
"Hanya selepas itu ia boleh dilihat sebagai penghakiman yang wajar untuk mengawal kelakuan dan mengarahkan perlakuan kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 30 hari ke atas Arun - bermula 24 April - selepas gagal dalam rayuannya. Dia juga dikenakan denda RM40,000.
Menurut peguam bela Arun, Joy Appukuttan, peguam terbabit terus dihantar ke Penjara Kajang selepas penghakiman dibuat.
Arun dituduh membuat kenyataan menghina mahkamah di dalam talian mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak pembatalan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam kes Leap Modulation Sdn Bhd lawan PCP Construction Sdn Bhd.
Sebelum itu Arun mendakwa kenyataan dibuatnya bersifat adil.

