Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor saran bersemuka, bincang dengan matang
Diterbitkan:  Apr 25, 2019 12:56 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan semua pihak agar bersemuka dan berbincang sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham.

Titah baginda sebarang perbezaan perlu diketepikan demi kebaikan semua, khususnya rakyat.

“Sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara negeri Johor dan kerajaan pusat, saya sarankan kita ketepikan sebarang perbezaan.

“Sebaliknya, eloklah berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat,” titah baginda di laman Facebook.

Mahathir sebelum ini dilaporkan begitu kecewa dan berang kerana menteri besar baru Johor Dr Sahruddin Jamal tidak mematuhi nasihatnya dan membuat rombakan barisan exco kerajaan negeri.

Dua exco yang digugurkan itu ialah, Mazlan Bujang yang juga Adun Puteriwangsa dari Bersatu dan Adun Skudai dari DAP, Tan Hong Pin.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan dengan memetik sumber bahawa kedua kedua-dua mereka tidak disenangi istana.

Dalam kenyataannya hari ini, Sultan Johor juga berharap tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan negeri itu.

“Negeri Johor baru sahaja menyempurnakan pelantikan menteri besar dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

“Saya harap selepas ini tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan Johor. Justeru, kepimpinan baru harus bersatu hati dan melipat gandakan usaha agar kebajikan serta kepentingan rakyat Johor ditambah baik dan sentiasa terbela.

“Pada masa yang sama, saya harap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh agar pentadbiran dan pengurusan negeri Johor berjalan lancar,” kata baginda.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Dr Mahathir mendakwa bahawa perlembagaan Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.

Perlembagaan Johor dimasyurkan pada tahun 1895 manakala Perlembagaan Terengganu dirangka pada tahun 1911.

Lihat Komen
ADS