Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy: Saya ingatkan Umno kucing Parsi, tapi...

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengakui telahannya terhadap nasib Umno selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu adalah silap.

Beliau pada awalnya yang menyifatkan Umno sebagai "kucing Parsi" yang tidak mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup di jalanan selepas tewas dalam PRU.

"Umno saya umpamakan seperti kucing Parsi, perlu bersaing dengan kucing jalanan, saya fikir tak lama hayat kucing Parsi ini.

“Tapi Umno buktikan kita dapat bertahan, bersaing dengan parti lain.

"Ramalan sesetengah pihak kata Umno akan hilang sebab ahlinya akan berpaling tadah dan berhijrah ke parti lain nampaknya tidak menjadi kenyataan," katanya pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Tambah Khairy lagi, meskipun beberapa wakil rakyat Umno mengambil keputusan untuk menyertai parti baru, namun ahli di peringkat akar umbi tetap setia bersama parti itu.

Malah katanya lagi, impian untuk melihat Umno diharamkan dan parti itu hilang sokongan tampak sukar kerana Umno masih mendapat sokongan kuat di peringkat akar umbi.

“Saya tanya akar umbi, mereka (akar umbi) tiada jawatan tapi masih setia kepada Umno kerana mereka menganggap Umno adalah tempat untuk orang Melayu,” katanya.

BN tewas buat pertama kali dalam sejarahnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, selepas lebih 60 tahun menerajui pentadbiran negara.

Kekalahan itu juga menyaksikan sebahagian besar wakil rakyat Umno di Sabah serta beberapa wakil rakyatnya di semenanjung tanah air bertindak meninggalkan parti dengan menyertai Bersatu.

Antara bekas anggota Parlimen Umno yang menyertai Bersatu ialah, Mustapa Mohamed (Jeli), Hamzah Zainuddin (Larut), Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Sementara itu Khairy ketika diaju soalan provokasi oleh moderator yang bertanyakan tentang niatnya untuk meninggalkan Umno.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata: "Buat masa ini tidak (meninggalkan Umno)," kata beliau sekiranya perjuangan Umno tidak berubah.

Namun katanya, beliau tidak menolak kemungkinan akan berubah fikiran sekiranya parti itu tidak lagi menjelmakan wajah Umno dalam erti kata perjuangan sebenarnya.

Lihat Komen
ADS