K’jaan bayar Najib RM1 juta selepas beliau terhenti jawatan PM
KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan membayar bekas perdana menteri Najib Razak sebanyak RM1 juta seperti mengikut undang-undang selepas beliau terhenti memegang jawatannya itu.
Timbalan Ketua Akauntan (Pengurusan) di Jabatan Perdana Menteri, Zarina Yusuf, 49, memberitahu mahkamah, bahawa pembayaran itu dicatatkan Mei lalu.
Menurut Seksyen 21 (1) Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, bekas perdana menteri berhak menerima elaun dan keistimewaan mengikut apa-apa kadar yang ditentukan oleh kabinet dari semasa ke semasa.
Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, telah menerima pendapatan berjumlah RM1,017,014.39 termasuk gaji dan elaun lain.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan mengenai maksud bayaran khas itu, saksi tersebut berkata: "Saya tidak begitu pasti mengenai perkara itu."
Zarina juga memaklumkan bahawa gaji asas terakhir Najib sebagai perdana menteri ialah RM22,826.65 sebulan dan beliau juga menerima gaji sebagai ahli parlimen serta elaun-elaun lain.

Zarina, yang merupakan saksi ke-27 pendakwaan berkata pada Mei 2018, Najib juga menerima gaji prorated sebanyak RM6,627.09.
Beliau berkata demikian pada hari ke-12 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sebelum Mei 2018, pendapatan kasar Najib adalah RM58,605.15 sebulan, katanya.
Semua pembayaran telah dipindahkan ke akaun Najib dengan Affin Bank.
Akaun bank ini tidak berada di bawah pengawasan semasa perbicaraan mahkamah Najib yang sedang berlangsung. Tumpuan adalah kepada akaunnya dengan AmBank dan SRC International Sdn Bhd.
Menjawab soalan Muhammad Izzat mengenai sebab gaji yang diterima Najib berkurangan (RM6,627.09), Zarina berkata jumlah itu dikira dari tarikh 1 hingga 9 Mei 2018 kerana pada masa itu, beliau masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Zarina, yang bertugas di Bahagian Akauntan, berkata bekas perdana menteri itu juga pernah menerima bayaran khas sebanyak dua kali, masing-masing berjumlah RM22,826.65 dan RM11,413.30 pada Disember 2011 dan Januari 2013.
"Jumlah pendapatan yang diterima Najib bagi setiap bulan bermula Januari hingga April 2009 ialah sebanyak RM48,681.65 manakala pada Mei 2009 hingga April 2018, beliau menerima pendapatan bulanan sebanyak RM58,605.15," katanya.

Saksi itu turut memaklumkan kesemua gaji dibayar kepada Najib melalui akaun Affin Bank miliknya bernombor 100040014008.
Muhammad Izzat: Siapa yang membayar kesemua gaji berkenaan?
Zarina: Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Farah Nurdiana Azhar, pegawai tadbir berkata Najib menerima elaun sebagai Ahli Dewan Parlimen sebanyak RM6,508.59 dan elaun sebagai Ketua Dewan sebanyak RM3,846.59 sepanjang 2011 hingga 2014.
"Jumlah pendapatan bulanan untuk tempoh 2011 hingga 2014 Najib ialah sebanyak RM10,355.18 kecuali pada bulan yang beliau layak mendapat sebarang pembayaran khas," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya hari ini.
Saksi ke-26 pendakwaan itu menjelaskan bagi tempoh Jan 2015 hingga Mac 2018, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, telah menerima elaun sebagai Ahli Dewan Parlimen sebanyak RM16,000 dan elaun sebagai Ketua Dewan sebanyak RM3,846.59.
"Jumlah pendapatan bulanan untuk tempoh 2015 sehingga 2018 Najib adalah sebanyak RM19,846.59 kecuali pada bulan yang beliau layak mendapat sebarang pembayaran khas," katanya.

Farah Nurdiana, 42, yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen Malaysia, berkata pembayar kedua-dua elaun ialah Parlimen Malaysia.
"Berdasarkan rekod yang berada dalam milikan saya, pembayaran elaun ini dibuat kepada akaun milik Najib di Affin Bank bernombor 100040014008," katanya.
Terdahulu, saksi ke-25 pendakwaan Daman Huri Nor, yang merupakan Setiausaha Bahagian, Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen turut memberi keterangan.
Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.







