Daim: Jualan minyak sawit ke China tiada kaitan perjanjian ECRL
Perwakilan khas perdana menteri ke China, Daim Zainuddin, menafikan bahawa perjanjian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disemak semula dengan China dibuat dengan membabitkan pertukaran minyak sawit negara.
Dalam satu wawancara, perunding utama Putrajaya dengan Beijing berhubung projek ECRL itu berkata bahawa kejayaan negara dalam merundingkan terma baru projek berkenaan tidak ada kena mengena dengan keputusan China untuk membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia.
Sebaliknya, beliau memberitahu South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong bahawa beliau menggunakan peluang perbincangan itu untuk menimbulkan isu-isu tertentu, seperti Malaysia ingin menjual minyak sawit dan peningkatan pelancong China ke negara ini.
"Kita kata, kamu (China) jauh lebih baik, jauh lebih kaya daripada negara lain. Mengapa kamu tidak beli lebih banyak?
"Tetapi ini bukan sebahagian daripada perjanjian (ECRL)," kata Daim, bekas menteri kewangan, dalam satu laporan SCMP yang diterbitkan hari ini.
Perjanjian ECRL pada mulanya dimeterai oleh kerajaan BN sebelum ini yang di bawah pentadbiran perdana menteri Najib Razak dan ditetapkan pada kos RM65.5 bilion. Ia adalah sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road China.
Namun projek itu ‘tergelincir’ buat seketika apabila ia digantung oleh kerajaan Pakatan Harapan yang memetik kos yang melambung dan perjanjian berat sebelah sebagai alasannya.
Bagaimanapun, susulan rundingan semula berbulan-bulan, perjanjian itu disemak semula dan projek itu disambung semula pada bulan April. Putrajaya mengumumkan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion.
Penjimatan itu, menurut Daim, cukup untuk membina dua Menara Berkembar Petronas.






