Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Gangguan terhadap penjawat awam tak selaras pembaharuan PH
Diterbitkan:  May 15, 2019 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Pemuda PAS mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya melakansakan pembaharuan yang dijanjikan dan tidak sesekali menganggu tugas penjawat awam seperti mana didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tugas penjawat awam amat penting untuk melancarkan pentadbiran kerajaan.

"Perkara sebegini tidak wajar berlaku di masa PH menjadi kerajaan memandangkan dahulu sewaktu BN menjadi kerajaan, PH mengecam tindakan sama yang di lakukan.

"Jika benar seperti yang di dakwa, maka transformasi dan pembaharuan kerajaan yang di janjikan adalah palsu semata – mata dan sekali lagi hanya gula- gula ketika pilihan raya untuk memancing undi.

"Saya berharap agar kerajaan dapat memantau permasalahan ini dan berkerjasama dengan Cuepacs untuk menangani perkara ini agar tidak berulang. Kakitangan awam tonggak pentadbiran negara, mereka wajar dibela serta di dengari aduan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cuepacs pada 13 Mei lalu, memaklumkan yang kesatuan itu menerima laporan terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Azih Muda ketika mendedahkan hal ini, berkata tindakan tersebut disifatkan sebagai mencampuri urusan perkhidmatan awam.

“Sehingga hari ini kita masih menerima aduan terdapat mereka-mereka yang dilantik dikalangan anggota politik ini telah pun mencampuri urusan (tugas) perkhidmatan awam kita,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya jumlah laporan yang telah diterima Cuepacs, Azih enggan memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun, Azih berkata menjadi harapan Cuepacs supaya perkara itu tidak berlaku di bawah pentadbiran PH.

Sementara itu, Muhammad Khalil melahirkan kebimbangan gangguan itu akan memberi kesan kepada perkhidmatan awam jika dibiarkan.

"Saya juga agak khuatir jika ianya akan menimbulkan tekanan kepada kakitangan awam sekiranya ia di biarkan berterusan, tambahan pula jika ia membabitkan perbezaan poltik dan pandangan mahupun keadah melaksanakan pekerjaan yang telah menjadi amalan kakitangan awam sejak sekian lama," katanya.

Lihat Komen
ADS