Memang kita cadang mansuh matrikulasi ketika zaman BN - Gerakan
Gerakan hari ini menyangkal kenyataan bekas menteri pendidikan Umno, Mahdzir Khalid kelmarin yang mendakwa pemimpin parti itu sewaktu dalam BN tidak pernah mempertikaikan program matrikulasi yang disifatkan sebagai diskriminasi kepada pelajar bukan bumiputera.
Malah, kata Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai, idea untuk memansuhkan matrikulasi dan mengekalkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya saluran untuk ke universiti awam telah diketengahkan parti itu sewaktu zaman pemerintahan BN.
“Memang kita teguh dengan pendirian kita iaitu hendakkan satu peperiksaan sahaja iaitu STPM untuk memasuki universiti awam.
“Semasa kita dalam BN, memang kita ada beri idea untuk adakan satu peperiksaan di negara kita sahaja.
"Tetapi, idea itu tidak diterima oleh pemimpin-pemimpin BN pada masa itu,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia Online.
Lau berkata, Gerakan sebagai rakan sekutu BN ketika itu terpaksa akur dengan keputusan berkenaan yang dibuat secara kolektif.
Mahdzir juga dilaporkan berkata gesaan Gerakan supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan program matrikulasi adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan cubaan meraih politik murahan.
Presiden Gerakan itu pada 13 Mei lalu ketika mengulas kenyataan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin berkata program matrikulasi sudah tidak relevan lagi kerana tujuan asal bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah ditangani.
Ini susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengakui sistem matrikulasi memang diwujudkan untuk menjadi "pintu belakang" buat orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau berkata ini kerana ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi.
Isu itu bertambah kusut dengan kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, semalam yang berkata keadilan bukan hanya dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.
Bercakap kepada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) ketika sesi soal jawab, beliau memberikan contoh keperluan untuk berbahasa Mandarin sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.
Maszlee menjawab soalan seorang siswa mengenai kemungkinan melonggarkan sistem kuota bagi kemasukan ke program matrikulasi praunivesiti.
"Kalau kini kita nak ubahkan (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin," kata menteri itu.






