Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hubungi peminjam PTPTN bukan senarai hitam mereka - Pakar

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya mengadakan sesi pertemuan bersama peminjam yang masih gagal membayar pinjaman dan bukannya menyenaraihitamkan mereka.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Barjoyai Bardai berkata ini bagi membolehkan peminjam mengemukakan perspektif mengapa mereka gagal berbuat demikian.

“Cara rasional untuk melakukannya adalah dengan menghubungi semua kumpulan yang masih tertunggak pinjaman ini dan adakan proses engagement dengan semua graduan yang telah mendapat pinjaman tapi tak menyelesaikan pinjaman.

"Kemudian bertanya kepada mereka melalui emel atau soal selidik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya peminjam PTPTN yang dilihat gagal membayar pinjaman boleh dikategorikan kepada empat kumpulan:

- Tidak mampu kerana belum mempunyai pekerjaan.

- Sudah bekerja tetapi memiliki pendapatan kecil

- Tidak meletakkan keutamaan walaupun sudah mempunyai pendapatan mencukupi.

- Paling kritikal iaitu enggan membayar langsung kerana berpendapat pendidikan percuma merupakan hak warga Malaysia.

“Jika memang bekas graduan itu mampu bayar tapi dia tidak mahu bayar kerana dia menegakkan prinsip bahawa pendidikan percuma adalah hak mereka, jadi kita perlu baiki persepsi itu dan mereka perlu bayar.

“Jadi bagi graduan yang tidak mampu bayar, mereka tidak sepatutnya diseksa dengan menyenaraikan hitam mereka, kerana mereka perlu menjalani kehidupan,” kata Barjoyai.

Rabu lalu, PTPTN memaklumkan pihaknya sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, tabung itu akan mempertimbangkan cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman.

'PTPTN tak patut guna cara ugutan'

Sementara itu Prof Shazali Abu Mansor pula berkata, ugutan terhadap peminjam seperti tidak memperbaharui lesen kenderaan tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi institusi itu.

“Bila diguna cara mengugut - tak boleh pergi ke luar negara, lesen tak boleh diperbaharui, itu zaman dulu. 

"Kerajaan baru tak patut buat macam tu," kata profesor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.

Tambahnya tindakan menyenaraihitamkan peminjam akan lebih menyukarkan mereka, terutama yang masih belum mempunyai pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Kita sangat simpati kepada mereka yang tak bekerja ni. Kita jangan usik orang yang tak ada kerja lagi ni. 

"Mereka tak ada kerja, dengan apa mereka nak bayar?” katanya.

Bagi mereka yang telah bekerja, Shazali mencadangkan agar pembayaran pinjaman dibayar melalui potongan akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Lihat Komen
ADS