Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 'Kamasutra': Wanita mahu saman malu MP Sungai Siput

Wanita yang didakwa memfitnah ahli parlimen Sungai Siput S Kesavan selepas dituduh menaruh hati terhadap pemimpin PKR itu mahu mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Ketika menghubungi Malaysiakini, wanita yang mempunyai ijazah dalam bidang undang-undang itu berkata, dia akan mengambil tindakan saman malu selepas dituduh cuba memporak-perandakan rumah tangga wakil rakyat itu dalam masa terdekat.

"Saya nak bagi peluang kepadanya untuk buktikan di mahkamah, kononnya saya mempunyai perasaan terhadapnya dan juga cuba merosakkan rumah tangga. Kita akan tahu siapa yang bercakap benar nanti.

"Saya sudah menghubungi peguam saya. Kami masih berbincang proses tindakan undang-undang dan sebagainya. Saya akan saman beliau dalam masa terdekat," katanya sambil memperkenalkan dirinya sebagai Ammu.

Pada 17 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan wanita berkenaan yang juga bekas bendahari cabang parti PKR saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menerima gangguan seksual daripada anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu, manakala Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Susulan laporan itu, Kesavan tampil menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap bekas pembantunya.

Pemimpin PKR Perak itu berkata, laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan terhadapnya adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasinya.

"Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita ini yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya," katanya dalam kenyataan media.

Jelas Kesavan, wanita berkenaan didakwa sering menelefonnya berpuluh kali sehari selain cuba menganggu rumah tangganya.

Bagaimanapun, Ammu dalam kenyataan balas menafikan semua tuduhan Kesavan.

Wanita itu juga mendedahkan Kesavan pernah datang berjumpa dengannya dan suaminya sambil memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan sedemikian.

Namun, gangguan itu tidak berakhir tetapi dirinya terus menerima mesej dan gambar-gambar lucah, termasuk daripada buku 'kamasutra' - merujuk buku kuno India - yang menceritakan mengenai seksualiti dan erotika.

Ammu turut mencabar Kesavan supaya menjelaskan kenapa tidak menerima surat letak jawatan olehnya sebanyak dua kali masing-masing pada Disember tahun lalu, dan April yang lalu.

Sementara itu, Kesavan ketika dihubungi Malaysiakini berkata dirinya bersedia berdepan dengan wanita itu di mahkamah.

Lihat Komen
ADS