story image
mk-logo
Berita
Persatuan minta k'jaan timbang duit raya pada peneroka

Kerajaan diminta mempertimbang untuk meneruskan pemberian insentif sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada peneroka Felda seperti yang telah diamalkan sejak 2011.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Mazlan Aliman berkata, apatah lagi di saat harga komoditi sawit yang tidak menentu pada masa ini.

Beliau menggambarkan insentif tersebut sama seperti bonus yang diberi kerajaan kepada kakitangan awam.

"Meskipun kami memahami kekangan kewangan kerajaan, namun mengambil kira keseluruhan peruntukan seperti tahun-tahun lalu, ia seharusnya bukan isu besar demi menjaga kepentingan peneroka yang memberi sumbangan besar kepada produktiviti negara.

“Sambil mengalu-alukan Pelan Pemulihan Felda seperti yang terkandung dalam Kertas Putih, proses pemulihan ini masih terlalu awal, sedangkan keperluan duit raya amat mendesak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali membayangkan peneroka mungkin tidak akan menerima peruntukan duit raya daripada kerajaan untuk tahun ini.

Selain memberi tumpuan kepada rancangan pemulihan lembaga itu yang bernilai RM6.23 bilion, Azmin berkata kerajaan berhasrat menyalurkan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil terlebih dahulu yang menurutnya akan dibuat sebelum hari raya.

Pengumuman itu dikritik Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan ia "mengecewakan seluruh warga peneroka."

Membandingkannya dengan BN, Beliau berkata pentadbiran lalu sentiasa mengutamakan warga Felda - termasuk memberi duit raya RM450/500 dan bonus RM350 - walau apa kedudukan kewangan Felda.

Mazlan berkata beliau akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar duit raya dapat diberi selewat-lewatnya seminggu sebelum hari raya, selepas menerima banyak respons daripada peneroka.

Untuk rekod, kerajaan PH memberikan insentif raya RM450 kepada peneroka pada tahun lalu.

'Sebagai pendahuluan dividen'

Sentimen sama turut disuarakan penganalisis ekonomi Prof Barjoyai Bardai yang berkata satu pemberian khas tetap perlu diberi kepada peneroka.

Beliau mencadangkan bayaran itu dijadikan sebagai pendahuluan daripada dividen yang bakal diperolehi pada masa akan datang, hasil proses pemulihan yang sedang dijalankan.

“Peneroka sebagai kumpulan berpendapatan rendah mengharapkan sesuatu kerana pada masa ini mereka memang terdesak. Hari raya sudah dekat, pendapatan daripada jualan kelapa sawit rendah kerana harga murah.

“Walaupun semua itu bukan kesilapan kerajaan (sekarang) tapi setengahnya kesilapan kerajaan terdahulu, tetapi kerajaan tetap perlu mengambil kira semua ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan kerajaan meningkatkan penyebaran maklumat berkenaan langkah pemulihan Felda yang telah dan akan dilakukan kepada semua pihak.

'Tangguh potongan terhadap peneroka'

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Rauzan Esa menggesa Felda menangguhkan pemotongan seperti bayaran operasi ladang dan hutang yang dikenakan terhadap peneroka buat sementara waktu.

Katanya, ia membolehkan peneroka mempunyai wang tunai yang lebih terutama di musim perayaan.

“Duit raya juga boleh diberi daripada insentif Felda Global Ventures (FGV) seperti daripada dividen dan jualan buah tandan sawit kepada kilang FGV.

“Pengumuman menteri memang agak mengecewakan sebahagian peneroka, namun ia pasti dibuat berdasarkan keadaan kewangan semasa,” katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS