Dr M: Perlu tata dunia baru bagi selesaikan konflik antara negara
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata masyarakat dunia memerlukan tata dunia baru yang mengetengahkan rundingan dan perbincangan berbanding konfrontasi dalam menyelesaikan konflik antara negara.
Dr Mahathir berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo, Jepun hari ini.
Menurut Dr Mahathir, tata dunia sedia ada gagal kerana bersifat primitif dengan menganggap perang dan konfrontasi dapat menyelesaikan konflik antara negara.
"Kita tahu situasi dunia tidak stabil. Kita lihat masalah di mana-mana, di Amerika Latin, Eropah, Asia, Timur Tengah, di setiap bahagian di dunia.
"Wujud konfrontasi antara AS dan China dan semua ini tidak baik untuk semua negara. Kita semua terjejas meskipun kita bukan pihak yang bersaing.
"Apabila dua gajah bergaduh, rumput dan apa-apa di atas tanah yang dipijak.
"Kita perlukan tata dunia baru kerana beberapa tata dunia sebelum ini nampaknya gagal. Ia gagal kerana kita masih bersifat primitif, masih secara relatifnya tidak bertamadun. Kita fikir konflik dapat diselesaikan melalui perang, melalui kemusnahan dan pembunuhan," katanya.
Dr Mahathir turut memetik pengalaman ahli persatuan negara Asia Tenggara (Asean) yang antara lain turut menyaksikan Malaysia cuba untuk menyelesaikan konflik dan pertikaian sempadan dengan Singapura dan Indonesia.
Jelas Dr Mahathir, negara Asean memilih untuk menyelesaikan konflik melalui rundingan, perbincangan dan mahkamah undang-undang.
Konfrontasi hanya akan menyebabkan negara pesaing meningkatkan kapasiti tentera yang boleh menjadi ancaman kepada negara jiran, tambahnya.
"Kami berbincang antara satu sama lain, kami tak pergi perang. Itu rahsia kelangsungan Asean," katanya.
Dr Mahathir juga mengambil maklum pertikaian dengan Beijing, terutamanya berhubung kontrak projek infrastruktur.
"Sudah tentu, kami (Malaysia) berdepan masalah dengan kebangkitan China yang sangat agresif sebab ia sudah jadi begitu kaya.
"Kami berbincang dengan China dan mengurangkan harga kontrak seumpamanya, jadi ia tak menjejaskan situasi kewangan negara kami," katanya.
Tambah Dr Mahathir, kuasa besar dunia perlu menerima hakikat bahawa negara lain mungkin bangkit dan berjaya dalam industri tertentu.
"hari ini, negara Timur sudah belajar semua penyelidikan dan pembangunan. Tiada lagi soal meniru produk dari Barat. Kini mereka (negara Timur) menghasilkan produk yang lebih baik.
"Apa yang Barat perlu buat adalah terima produk daripada Timur, dan cuba berjaya dalam bidang lain. Cari bidang lain yang memberi kelebihan persaingan.
"Jangan cuba bersaing dalam bidang yang anda tidak boleh cemerlang. Setiap negara perlu belajar dan menumpukan pada kekuatan prinsipal masing-masing," katanya.

