Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Walaupun dengan amaran denda ekoran masalah teknikal dalam pengebilannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini berkata tumpuannya kekal untuk menyelesaikan rungutan berkenaan bil elektrik yang tinggi.

Menggesa pelanggan untuk membuat laporan secara rasmi, CEO TNB Amir Hamzah Azizan berkata usaha sedang dijalankan untuk menangani 14,469 laporan yang diterima di cawangan Kedai Tenaga dan talian TNB Careline sejak bulan lalu.

"Daripada angka ini, 11,331 laporan telah diselesaikan. Hanya 3,318 yang masih dalam siasatan," katanya ketika sidang media di ibu pejabat TNB di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya berkanaan kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Yeo Bee Yin bahawa TNB masih boleh didenda walaupun telah menyelesaikan masalah itu, Amir berkata: "Pada masa ini, tumpuan kami bukan untuk bimbangkan perkara itu."

"Tumpuan kami adalah untuk selesaikan isu ini. Sebab itu hampir semua usaha saya pada masa ini adalah untuk memastikan kita ada cukup orang di lapangan, lebih ramai di Kedai Tenaga dan TNB Careline, lanjutan masa khidmat dan sebagainya," katanya lagi.

Amir Hamzah Azizan

Dalam wawancara bersama program Global Watch di 8TV semalam, Yeo berkata TNB telah mencabuli standard Suruhanjaya Tenaga berkenaan tahap perkhidmatan, dan pembekal tenaga elektrik tunggal itu tetap akan didenda walaupun telah membetulkan masalah.

Yeo juga mendedahkan Suruhanjaya Tenaga telah mengeluarkan surat amaran kepada TNB dan notis arahan untuk menyelesaikan semua masalah yang menurut syarikat itu antara puncanya ialah masalah teknikal dalam sistem pengebilan pada 15 hingga 20 Mei lalu.

Amir enggan mengesahkan atau menafikan tentang surat tersebut, dan hanya menegaskan TNB memberi tumpuan untuk menyiasat dan menyelesaikan semua laporan yang diterima.

Beliau juga enggan menjelaskan perincian berkenaan masalah teknikal yang dihadapi.

Menjelang cuti Hari Raya, Amir memberi jaminan kepada pengguna bahawa tidak akan ada gangguan bekalan elektrik.

"Dan untuk mereka yang buat laporan dan siasatan masih berjalan, notis pemutusan bekalan (ekoran bil tidak berbayar) akan ditangguh selama dua minggu," katanya lagi.

Jika didapati pelanggan dicaj secara lebih, katanya, jumlah tambahan itu akan dikreditkan semula ke akaun mereka dan proses itu biasanya mengambil masa sehingga dua minggu tetapi mungkin lebih lama ekoran jumlah laporan yang diterima.

Untuk mengendalikan semua laporan, Amir berkata waktu operasi cawangan Kedai Tenaga di seluruh negara yang baru ialah bermula lapan pagi hingga enam petang (Isnin hingga Sabtu) kecuali cuti umum.

Ribuan komen warganet yang marah memenuhi laman Facebook rasmi TNB. Mereka antara lain mempersoal mengapa bil elektrik mereka melambung begitu tinggi untuk bulan Mei.

Ada juga yang bertanya sama ada kesilapan bacaan disebabkan "meter pintar", TNB bagaimanapun menafikan perkara itu.

Mengulas isu tersebut, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata ia mungkin didorong banyak faktor, antaranya bacaan yang lebih tepat oleh meter digital baru yang digunakan TNB.

Lihat Komen
ADS