Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Misi sudah tercapai, kata Shukri berhubung pengunduran dari SPRM

Mohd Shukri Abdull percaya bahawa beliau telah meletakkan SPRM di landasan yang betul semasa menjadi ketua pesuruhjaya suruhanjaya itu.

"Misi sudah tercapai," katanya kepada Malaysiakini dalam pesanan mesej teks ketika ditanya alasannya untuk mengundurkan diri, petang tadi.

"Saya sudah letakkan SPRM di landasan yang betul. Semua pegawai bersatu (dalam memerangi rasuah) dan sokongan orang ramai juga padu," katanya.

Walau bagaimanapun, Shukri enggan mengulas mengenai pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya yang menggantikannya.

Terdahulu hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan bahawa Shukri memutuskan untuk memendekkan kontraknya yang dijadualkan berakhir pada Mei tahun depan.

Dalam langkah yang mengejutkan, PMO berkata Latheefa akan menggantikannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Shukri dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Mei lalu sejurus selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Pada sidang akhbar tidak lama selepas itu, Shukri menitiskan air mata ketika menceritakan bagaimana beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Ini selepas bekas bosnya, Abu Kassim Mohamed memutuskan untuk mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak berhubung wang RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadinya itu.

Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) pada 31 Julai 2016.

Apabila kerajaan baru Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 17 Mei tahun lalu, beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk tempoh dua tahun.

Latheefa pula merupakan peguam, aktivis kemanusiaan dan juga anggota jawatankuasa pusat PKR.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan berkata Shukri telah berjaya memimpin suruhanjaya itu dengan cemerlang, termasuk menyelesaikan dua kes berprofil tinggi yang menjadi keutamaan beliau.

“SPRM mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan jasa Mohd Shukri, dalam tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan permohonan Shukri untuk memendekkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, sebelum kontrak tamat pada 17 Mei 2020.

Sementara itu, warga SPRM turut menyuarakan sokongan kepada Latheefa yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya yang baru, untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Lihat Komen
ADS