Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
10 dari 13 ketua pesuruhjaya SPRM dilantik dari luar, kata timbalan
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 1:02 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata pihaknya berikrar untuk memberikan sokongan penuh kepada ketua pesuruhjaya baru mereka, Latheefa Koya.

“Kami akan berikan semua sokongan kepadanya untuk beliau jalankan tugas dengan berkesan dan cekap,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today, semalam.

Azam juga dipetik sebagai berkata bahawa sudah menjadi perkara biasa bagi SPRM dipimpin oleh "orang luar" kerana menurutnya sejak Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhjan pada 1967 dan diganti dengan SPRM pada 2009, 10 daripada 13 ketua pesuruhjaya merupakan individu yang dilantik dari luar agensi.

Tiga ketua pesuruhjaya yang dilantik dari dalam SPRM adalah Ahmad Said, Abu Kassim Mohamed dan Shukri Abdull.

Latheefa, seorang peguam, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Bagaimanapun, pelantikan Latheefa dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan peguam itu kerana sebelum ini merupakan ahli PKR dan pernah memegang jawatan dalam parti.

Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama juga mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji bahawa pelantikan utama dalam agensi termasuk SPRM perlu diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS