Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Mahathir harus bentang Kertas Putih 'Week of Long Knives'
Diterbitkan:  Jun 6, 2019 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu siasatan penuh dijalankan terhadap episod Black Tuesday dan operasi Week of Long Knives pada bulan Julai 2015 lalu untuk mengetahui peristiwa hitam dalam enam dekad demokrasi di Malaysia itu dan memastikan ia tidak berulang.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa bahawa peristiwa yang tercetus susulan serangan paling serius, menyedihkan dan memalukan terhadap prinsip-prinsip demokratik Perlembagaan Malaysia dan kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme ke atas semua institusi penting negara dalam sejarah negara ini.

Black Tuesday dan operasi Week of Long Knives berkaitan dengan skandal 1MDB dan pemecatan tiga tokoh utama, iaitu Peguam Negara Abdul Gani Patail, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin kini adalah presiden Bersatu yang bersama dengan DAP, PKR dan Amanah membentuk Pakatan Harapan.

Dalam perikatan dengan parti Warisan pimpinan Mohd Shafie, gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu, sekali gus menumbangkan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan pentadbiran BN selepas enam dekad memerintah negara.

Bekas AG itu kini mempunyai firma perundanganya sendiri, Muhyiddin pula adalah menteri dalam negeri manakala Mohd Shafie, adalah ketua menteri Sabah.

Lim berkata peristiwa gelap lalu itu tidak boleh dibenarkan berulang pada masa akan datang dan atas sebab tersebut pendedahan sepenuhnya mesti dibuat untuk mengetahui setiap sudut dan penjuru dalam kerajaan persekutuan yang membiarkan peristiwa terburuk dalam sejarah demokrasi negara tersebut berlaku.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus mengemukakan Kertas Putih berhubung Week of Long Knives pada Julai/Ogos 2015 pada sidang Parlimen Julai ini," kata Lim dalam satu kenyataan.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan kewujudan sebuah laman web yang masih boleh dilayari sehingga hari ini.

Beliau berkata laman web itu berperanan penting dalam kempen untuk menyebarkan rejim keganasan di kalangan pemimpin politik dan kerajaan.

"Laman web ini membuat penampilan pertama dengan artikel bertajuk Ops Lalang 2015: Special Branch Leads Investigation into Conspirators yang membuat tuduhan-tuduhan paling menjijikkan dan keterlaluan membabitkan pegawai tertinggi kerajaan, terutama tiga daripada empat pegawai kanan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Najib Razak.

"Ia sehingga tahap di mana sesiapa yang ingin menukar perdana menteri atau kerajaan boleh disiasat, ditahan dan dituduh di bawah Seksyen 124B untuk ‘aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’ yang jelas mengkhianati sepenuhnya terhadap prinsip parlimen demokrasi,” katanya.

[Baca kenyataan penuh]

Lihat Komen
ADS