Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull mahu semua pihak memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Latheefa Koya untuk menerajui suruhanjaya itu dan melaksanakan tugasnya dengan terbaik.

Beliau berkata adalah membuang masa untuk melalak dan "membawang" kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan mengenai pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM yang baru.

"Berikan sokongan dan biarkan dia membuat kerjanya. Biar dia buat yang terbaik dan kemungkinan dengan tugas dia sebelum ini sebagai peguam, dia boleh bawa idea-idea korporat dan diganding dengan inisiatif kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Mohd Shukri berkata beliau meletakkan kepercayaan kepada Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik dan melaksanakan tugas untuk negara.

Menurutnya orang ramai tidak perlu bimbang kerana yang menjalankan tugas adalah pegawai-pegawai SPRM dan tugas ketua pesuruhjaya adalah untuk menggerakkan.

"KP baru walaupun tidak ada pengalaman dalam kerja SPRM tetapi pegawai yang akan buat kerja, dan pegawai-pegawai ini memang ini terlatih.

“Jadi benda ini akan berjalan lancar,” katanya.

Pesanan buat Latheefa

Mohd Shukri turut menurunkan beberapa petua sebagai panduan bagi Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik iaitu "Do The Right Thing; Do It Right; Independent/Neutral/Impartial; Without Fear or Favour".

"Jangan takut ditekan, jangan takut tekanan, jangan takut dibuang (kerja) sekalipun tetapi jangan tunduk kepada desakan.

"Kena ada ciri-ciri ini dan saya percaya beliau akan menjadi pemimpin yang baik," katanya.

Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Mengenai soal sama ada Latheefa bersifat 'independent' atau berkecuali, Mohd Shukri berkata: "Tunggu. Tengoklah lepas ini. Bagi peluang kepada dia."

Menurut Mohd Shukri, beliau hanya mengetahui pelantikan Latheefa ketika menghadap Yang di-Petuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 Jun lalu.

Beliau mendedahkan ada mencadangkan nama penggantinya iaitu dua pegawai kanan SPRM, yang tidak didedahkan nama mereka, dalam satu suratnya bertarikh 6 Mac kepada Dr Mahathir.

'Yes or no'

"Saya beri Tun (Dr Mahathir) dua bulan untuk cari pengganti saya supaya proses (mencari pengganti) berjalan lancar.

“Saya kata dalam surat itu kenapa saya cadang orang dalam kerana mereka telah faham tugas-tugas SPRM, jadi mudah untuk mereka lanjutkan visi dan misi. Itu yang saya katakan di situ.

“Kemudian surat saya pergi dan bawa ke Tun (Dr Mahathir) saya bawa bersama (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Abu Kasim (Mohamed). Tujuan saya bawa Abu Kasim adalah untuk yakinkan Tun bersetuju dengan permohonan saya.

“(Tapi) Tun tak beri jawapan ‘yes or no’. Tak apalah. Saya tunggu keputusan, habis sampai 1 Mei saya tak terima apa-apa keputusan, saya terus kerja macam biasa dan masih terima gaji sehingga 4 Jun saya hadap Agong dan saya jumpa dgn KSN. Hari itu baru saya tahu sebenarnya dah dilantik peganti saya.” katanya.

Ditanya bagaimana dengan penyatuan dalaman SPRM dengan lantikan Latheefa yang merupakan orang luar, Mohd Shukri berkata beliau hanya boleh berdoa supaya pegawai terus bersatu padu untuk melaksanakan amanah mencegah rasuah dan salah guna kuasa demi negara dan rakyat.

"Sudah-sudahlah yang dahulu, ke depan ini bekerjasamalah kerana kita bekerja bukan untuk setakat SPRM tetapi untuk negara dan rakyat. Lupakan soal peribadi (isu), melihat dan bergerak ke hadapan,” katanya.