Susulan pelantikan Latheefa, Zunar 'lenyek' Dr M
Satira terbaru kartunis Zunar mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi kartun itu, Zunar menggambarkan Mahathir memandu sebuah jentera penggelek dan melenyek "reform", "cabinet" dan "parliament select committee".
Ia berkaitan kenyataan Mahathir sebelum ini bahawa beliau tidak membincangkan pelantikan Latheefa dengan kabinet, manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam juga tidak tahu berkenaannya.
Dalam satu lagi kartun, Zunar menekankan perlunya SPRM menjadi bebas dan tiada campur tangan politik.
Bercakap dengan Malaysiakini hari ini, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque berkata kartun terbarunya itu untuk menunjukkan institusi lebih penting daripada individu.

"Masalah utama Malaysia ialah rasuah. Bukan saja rasuah di masa lalu, tetapi juga pada masa ini. Jika SPRM mahu melawan rasuah, suruhanjaya itu perlu bebas daripada politik.
"Perdana menteri tak patut buat pelantikan...Anda boleh lantik orang paling tegas, tetapi jika perdana menteri yang pilih individu itu, maka tiada beza dengan zaman dulu," katanya lagi.
Kartunis yang beberapa kali didakwa ketika pentadbiran BN itu berkata Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang membantah pelantikan seperti itu yang dibuat BN dulu.
"Tapi apa perbezaannya sekarang?"
Pelantikan Latheefa minggu lalu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada Pakatan Harapan.
Kebanyakannya setuju dengan kemampuan bekas anggota PKR itu tetapi tidak setuju dengan tindakan Mahathir mengabaikan prosedur lantikan yang dipersetujui sebelum ini.
Bagaimanapun Mahathir tegas dengan keputusannya itu.
Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang membuat keputusan memendekkan kontrak dua tahunnya yang dijadual tamat pada Mei 2020.





