Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lantikan Latheefa ikut undang-undang, tapi salah dari segi politik'
Diterbitkan:  Jun 9, 2019 6:04 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Lantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dikritik pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Sementara pelantikan yang dibuat Dr Mahathir Mohamad itu tidak menyalahi undang-undang, Lim berkata ia tidak selari dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) PRU ke-14 kerana ia tidak disahkan oleh Parlimen.

"Mereka yang membantah pelantikan Latheefa dengan mengatakan ia mencabuli semangat manifesto PH tidak salah.

"Dan saya yakin jika Latheefa tidak terbabit dalam kontroversi (pelantikan) ini, dia akan menjadi individu paling depan mengkritik sebarang pelantikan pesuruhjaya SPRM dengan kaedah yang serupa seperti pelantikannya.

"Malah, dengan mengambil kira logik ini, pelantikan Mohd Shukri Abdull pada 18 Mei 2018 turut melanggar Janji 14 manifesto PH," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaupun ada yang mengatakan pelantikan untuk jawatan itu perlu disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama, tetapi terma rujukannya menunjukkan jawatankuasa itu hanya berfungsi sebagai peneliti.

Latheefa Koya

Lim berkata pelantikan Shukri dan Latheefa tidak dapat disahkan Parlimen kerana peruntukan undang-undang yang diperlukan untuknya belum ada.

"Ini mewujudkan keadaan kurang senang di mana perdana menteri betul secara perlembagaan, tetapi dari segi politiknya salah dalam menggunakan prerogatifnya untuk melantik Latheefa," katanya.

Merujuk kegagalan rang undang-undang pindaan perlembagaan berkaitan status Sabah dan Sarawak di Parlimen April lalu, Lim berkata usaha untuk mengubah perundangan dan perlembagaan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Apakah ketua pembangkang dan parti pembangkang akan menyokong pindaan perlembagaan untuk melaksanakan Janji 14 manifesto PH?" soalnya.

Sementara itu, Lim berkata ujian terbesar Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM adalah sama ada dia dapat "membawa jerung ke muka pengadilan" dalam perang terhadap rasuah.

"Kita mahu visi Malaysia Baru oleh PH berjaya - bermakna kita mahu Latheefa berjaya menjadikan Malaysia negara bebas rasuah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS