Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa takkan terlibat siasat aduan Lokman Adam
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Latheefa Koya yang baru dilantik mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terlibat dalam sebarang tindakan susulan daripada laporan dibuat anggota Majlis Tertinggi Umno ke atas seorang menteri kabinet PH.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pesuruhjaya SPRM itu memberitahu siasatan terhadap aduan dibuat Lokman Noor Adam berkenaan - serta aduan lain - akan dijalankan secara profesional.

"SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa," katanya.

Latheefa yang sebelum ini menjadi antara pemimpin kanan PKR dan meninggalkan parti berkenaan sebelum memulakan tugasnya memberitahu, aduan daripada Lokman itu akan dikendalikan timbalannya.

Mengikut susunan hierarki, ada tiga orang timbalan di bawah Latheefa dan Azam Baki bertanggungjawab untuk hal-hal berkaitan siasatan.

"Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan," kata Latheefa.

Pelantikan Latheefa seperti diumum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mencetuskan kejutan dan bantahan daripada pelbagai pihak.

Klip video juga diadukan

Antara lain, isu yang dibangkitkan ialah kemampuan Latheefa menjalankan tugas secara adil berdasarkan kedudukannya dalam PKR sebelum ini.

Pelantikannya juga menjadi polemik apabila ia dianggap menyalahi ikrar dalam manifesto PH yang berjanji untuk membuat pelantikan jawatan tertinggi SPRM dan Ketua Audit Negara melalui jawatankuasa khas parlimen.

Untuk rekod Lokman juga pernah menjadi antara anggota PKR yang mendapat perhatian ramai pada awal era reformasi sebelum beliau mengubah haluan dan menyertai Umno.


Baca Rakyat sedang menilai, kata Johari


Terdulu Lokman menyerahkan laporan didakwa dokumen bank membabitkan seorang menteri yang dikaitkan dengan video seks sejenis sejak beberapa hari lalu.

Melalui dokumen berkenaan, sejumlah wang didakwa dibayar oleh syarikat berkaitan kerajaan kepada akaun bank menteri terbabit pada 2017.

Lokman yang akhir-akhir ini sering muncul sebagai penyokong kuat Najib Razak turut membuat laporan kepada polis berhubung video klip seks berkenaan.

Bagaimanapun keaslian dokkumen bank dan klip video tersebut tidak dapat disahkan secara bebas setakat ini.

Lihat Komen
ADS