Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | PAS dan Umno kini dalam proses mempertingkatkan lagi kerjasama sebagai fokus perancangan untuk mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan pusat.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata sehingga kini rundingan di antara kedua-dua parti itu terus diadakan melalui jawatankuasa bersama yang dibentuk.

Beliau juga membayangkan tidak banyak isu yang belum diselesaikan ketika ini.

Katanya antara isu yang dibincangkan termasuk pengagihan kerusi dan calon bertanding.

"Kita ke arah mempertingkatkan (kerjasama) peringkat demi peringkat yang (mana) kita telah berjaya melalui (beberapa) pilihan raya kecil yang kita memperoleh kemenangan.

"Terserah kepada jawatankuasa induk selesaikan perkara yang masih ada, tak banyak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat di Bukit Gambang Resort City, dekat Kuantan hari ini.

Hadir sama, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang menambah kedua-dua pihak sedang membincangkan kawasan yang akan ditandingi mereka serta calon yang akan diturunkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya perbincangan dan kajian itu dijalankan dengan kajian terperinci.

Untuk rekod mengikut perlembagaan negara mandat sesebuah kerajaan akan berakhir selepas lima tahun dan pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan pada tempoh berkenaan.


Baca Mat Hasan usul 'formula P Ramlee' agih kerusi Umno-PAS


Kali terakhir negara ini menjalani PRU ialah pada Mei tahun lalu. Ia menyaksikan PAS kekal di Kelantan dan menawan Terengganu, manakala di peringkat pusat, PH mengetepikan BN buat kali pertama dalam sejarah negara.

Kata Abdul Hadi rundingan PAS dan Umno adalah untuk mengambil alih kuasa pemerintahan selepas kerjasama mereka membuahkan hasil dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Untuk rekod selepas PRU ke-14 lalu, ada lapan PRK dijalankan dengan tiga daripadanya melibatkan kerusi parlimen manakala bakinya dewan undangan negeri.

Daripada jumlah itu hanya tiga dimenangi pembangkang iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Dua kerusi terbabit memang dikuasai BN sebelum PRK diadakan.

Sementara itu, Abdul Hadi turut diminta mengulas mengenai status menantunya Zaharudin Muhammad, yang dilaporkan akan dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin PAS ekoran pendedahannya mengenai "kartel dedak".

Abdul Hadi berkata, beliau tidak campur tangan dalam isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa terbabit untuk jalankan siasatan.

Katanya itu adalah sikap beliau yang terbuka kepada tindakan jika jawatankuasa berkenaan mendapati ia perlu dilakukan.

"Itu saja tak campur, saya terbuka boleh ambil tindakan kepada sesiapa saja dalam PAS, termasuk kepada saya sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS