Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kematian akibat campak tak patut berlaku pada zaman ini’
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 11:53 AM
Dikemaskini: 5:05 AM

Bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam meluahkan rasa kesal terhadap kematian tragik 15 penduduk perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang disahkan mati akibat demam campak.

Beliau berkata kematian akibat penyakit itu tidak sepatutnya berlaku pada zaman kini.

“Kementerian Kesihatan memaklumkan kematian Orang Asi tersebut berkemungkinan disebabkan demam campak. Seperti yang kita semua tahu, demam campak adalah penyakit yang boleh disembuhkan sendiri oleh tubuh.

“Dalam banyak kes melibatkan individu sihat, hanya rawatan sokongan sahaja diperlukan. Dalam kes melibatkan Orang Asli terbabit, malang sekali, keadaan berubah menjadi sesuatu yang sangat serius.

“Ia menggambarkan ketidakmampuan (tubuh) Orang Asli untuk mempertahankan diri mereka daripada penyakit seperti itu akibat kekurangan zat dan mungkin kerana sistem pertahanan imun yang lemah. Jika tidak, mereka tak akan mati,” katanya di Facebooknya.

Tambah Subramaniam, penyakit demam campak yang dihadapi mereka mungkin telah melemahkan pertahanan imun mereka dan mengaktifkan semula patogen terpendam yang mungkin wujud secara tidak aktif dalam sistem tubuh mereka.

“Dari mana mereka dapat demam campak? Orang pertama yang dijangkiti penyakit ini mungkin mendapatnya daripada orang luar semasa tempoh jangkitan penyakit tersebut," katanya.

Dalam masa sama, Subramaniam memberi penekanan terhadap kepentingan mendapatkan imunisasi.

“Imunisasi percuma dan mudah didapatkan. Malah, orang Malaysia sepatutnya rasa bangga dengan program imunisasi kita dengan infrastruktur yang lengkap tersedia dan meluas liputannya

“Biarpun dengan semua ini sekalipun, tetap masih ada sebahagian yang tidak mendapatkan imunisasi, kerana sifat jahil, malas dan pandangan berbeza (berhubung imunisasi).

“Bagi sesetengah orang, tidak mendapatkan imunisasi mungkin dipandang sebagai pilihan peribadi, tetapi insiden Kampung Kuala Koh menunjukkan, betapa buat sesetengah pihak pula, ia boleh menjadi sesuatu yang sangat tragik,” tambahnya lagi.

Subramanian berkata, rakyat telah lama memperdebatkan tentang baik-buruk langkah mewajibkan imunisasi, tetapi mereka masih belum boleh mencapai satu kata sepakat.

“Ia isu yang agak rumit. Tapi atas kesedaran terhadap tragedi yang terjadi di Kampung Kuala Koh, penting untuk kita menimbangnya semula (mewajibkan imunisasi).

"Langkah lain yang telah dibincangkan sebelum ini, adalah mewajibkan semua kanak-kanak yang mahu mendaftar ke sekolah untuk diberikan imunisasi.

“Supaya dalam masa dan zaman ini, rakyat Malaysia tidak sepatutnya mati disebabkan penyakit demam campak ini,” tambahnya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS