Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin yakin video seks libat ‘orang dalaman’ PKR

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yakin bahawa video seks yang didakwa melibatkan dirinya didalangi oleh "orang dalaman" parti itu.

"Ya, saya yakin, saya yakin," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB di Shah Alam, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau yakin bahawa video itu adalah agenda orang dalaman parti susulan seorang ketua PKR negeri yang dilaporkan hilang.

The Star melaporkan bahawa kumpulan WhatsApp PKR kekecoh apabila individu berkenaan tidak dapat dikesan.

Laporan akhbar itu menyebut individu berkenaan gagal dihubungi sejak klip video pertama mengenai skandal seks yang dikatakan melibatkan Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, mula diedarkan minggu lalu.

The Star berkata nama individu itu muncul ketika Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai seorang lagi individu dalam klip video tersebut, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Manila.

Akhbar itu memetik pemimpin PKR yang tidak dinamakan sebagai berkata, pengerusi PKR negeri itu menepati gambaran kerana dikatakan mempunyai saudara mara di Filipina.

Walaupun The Star tidak menyebut namanya, adalah dipercayai laporan itu merujuk kepada setiausaha politik kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Semalam, Malaysiakini yang memetik sumber yang rapat dengan kepimpinan parti mendakwa bahawa Haziq tidak berjumpa dengan Farhash, yang juga adalah pengerusi PKR Perak, di KLIA.

Anwar juga berulang kali menafikan bahawa dirinya atau pembantunya berada di sebalik belakang skandal seks berkenaan.

Lihat Komen
ADS