Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS | Sehari suntuk Pemuda PAS bermuktamar semalam, banyak juga persoalan perwakilan yang diberikan pencerahan oleh pucuk pimpinan.

Antara yang kerap kedengaran, pemimpin tampil menjawab isu indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan terlalu tinggi sehingga sukar untuk dicapai, serta beberapa penjelasan berhubung kekangan yang membelenggu Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).

Ada juga perkara yang dibangkitkan hanya oleh seorang perwakilan, tetapi dilihat cukup penting sehingga dijawab oleh beberapa pucuk pimpinan.

Paling ketara, soalan yang dikemukakan wakil Sandakan, Mustaman Mustain, yang berasakan perhatian kurang diberikan kepada PAS Sabah dan Sarawak oleh PAS pusat, terutamanya ketika PRK Sandakan bulan lalu.

Namun, beberapa pemimpin tampil menafian dakwaan tersebut.

Hari ini, Pemuda PAS bermuktamar untuk hari kedua. Mengikut jadual, ia akan berlangsung sehingga ke awal petang.

Masih ada dua hal utama yang timbul semalam dan dijangka akan diuruskan oleh pemimpin mereka hari ini.

Pertama, sajak yang antara baitnya ialah "darah-darah munafik" didekamasi oleh PU Merico.

Kambus begitu saja

Kedua - yang paling ditunggu-tunggu - ialah sama ada seorang perwakilan Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, akan mendapat ruang untuk meluahkan apa yang terkandung dalam hatinya selepas ia terhalang malam tadi.

Dalam salah satu selingan muktamar semalam, PU Merico membaca sajak Demi Islam dengan bersemangat.

Padanya ada petikan berbunyi "Allah telah menapis darah-darah munafik" daripada PAS pada 2015.

Label ‘munafik’ oleh penyajak bukanlah satu tuduhan ringan. Ia dipercayai dilemparkan buat bekas anggota PAS yang keluar parti secara beramai-ramai pada 2015 sebelum membentuk Amanah.

Apakah akan ada pucuk pimpinan yang akan memberi reaksi terhadap sajak tersebut?

Atau adakah masing-masing akan mengambus begitu saja label berat yang dilemparkan kepada bekas rakan-rakan separti mereka itu dengan ketidakpedulian semata-mata?

Jika ia dijawab, anggota, penyokong dan pemerhati akan mendapat pencerahan. Jika sebaliknya ia membayangkan apa yang dikatakan PU Merico itu mendapat restu daripada pucuk pimpinan.

Yang penting, laluan yang akan dipilih Pemuda PAS hari ini akan memberi gambaran sama ada mereka akan merelakan sayap itu diperangkap dengan label parti ekstrem, atau memegang label parti yang mementingkan "kesatuan dan kesepakatan tanpa mengira ideologi" seperti yang dinyatakan ketuanya semalam. 

Secara keseluruhan, perjalanan muktamar semalam agak dingin. Teriakan takbir beberapa kali yang bergema dalam dewan tidak cukup untuk menghangatkan suasana, sehinggalah Amirul Jufri meluahkan rasa tergurisnya kerana muktamar kali ini menjemput Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu sebagai tetamu istimewa.


Baca Pemuda Perlis 'terguris' Zamri Vinoth diberi tempat


Tidak cukup dengan itu Muhammad Zamri diberikan slot khas untuk memberikan ucapan dari atas pentas. Semasa personaliti yang dekat dengan Dr Zakir Naik itu berbicara, semua mendengar dengan tekun, termasuk barisan jawatankuasa pusat Pemuda PAS.

Rupa-rupanya ada hati yang terguris di bawah pentas.

Tanpa berselindung, Amirul Jufri mempersoalkan dan meminta penjelasan atas tindakan Pemuda PAS itu.

Dia menyifatkan kepemimpinan Pemuda PAS pusat tidak mengenali Muhammmad Zamri seperti Pemuda PAS Perlis. Dan juga menyamakan Muhammad Zamri dengan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Empat hari kami duduk dalam lokap, dia (Zamri) inilah orang yang menyebarkan fitnah kepada kami empat anggota Jabatan Amal di Perlis.

"Apakah ini sikap Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap kami? [...] Adakah antum (kamu semua) lebih rela berkawan dengan depa berbanding berkawan dengan kami?” soalnya, dipercayai merujuk insiden kebakaran kereta Mohd Asri pada 22 Mac lalu.

Amirul Jufri sepatutnya mahu membangkitkan isu tersebut dengan lebih lanjut dalam ucapan perbahasannya semalam. Bagaimanapun, perbahasan itu dibuat bukan pada tempat yang wajar - sekurang-kurangnya mengikut pertimbangan Pengerusi Tetap Pemuda PAS Kamal Ashaari.

Kamal mengarahkan Amirul Jufri menamatkan 'perbahasan' dan dipersetujui dengan agak berat hati selepas diberitahu, wakil Perlis akan diberi ruang untuk bersuara dalam sesi membahaskan ucapan ketua pemuda hari ini.

Kerana itulah, ucapan Amirul Jufri paling dinanti.

Adakah Pemuda PAS cukup terbuka untuk mendengar ketidakpuasan hati anggotanya sendiri secara terbuka dan di depan khalayak hari ini?

Adakah luahan hati Amirul Jufri akan dapat didengari dari pusat percutian Bukit Gambang hari ini?

Ataukah, perjalanan muktamar akan sekadar hembusan bayu senja di Teluk Cempedak gara-gara walak?

Lihat Komen
ADS