Bacaan sajak oleh pendeklamasi yang memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana "menapis darah-darah munafik" daripada PAS pada 2015 mengundang kenyataan balas dari pemimpin parti yang pernah bersama mereka sebelum ini.

Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata, jika tuduhan ‘munafik’ itu ditujukan kepada pemimpin Amanah maka beliau hanya boleh mengucapkan ‘astaghfirullah’.

“Jika tuduhan itu dimaksudkan kepada kami semua (termasuk saya) saya hanya boleh kata astaghfirullah,” tulis Hanipa di Facebooknya, malam tadi.

Menurutnya lagi, jika tuduhan tersebut diandaikan betul, maka beliau akan bertaubat kepada Allah.

“(Dan) jika tuduhan itu tidak betul, saya seorang tidak ada masalah nak maafkan pada orang yang membuat tuduhan itu,” katanya.

Semalam Pencetus Ummah (PU) Merico membacakan sebuah sajak bertajuk ‘Demi Islam’ ketika selingan majlis Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-60.

Bacaan itu dibuat selepas Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi selesai menyampaikan ucaptamanya dalam Muktamar Pemuda PAS

Biarpun tidak menyebut secara langsung, "penapisan darah munafik" yang dimaksudkan Merico dipercayai merujuk kepada bekas anggota PAS yang beramai-ramai keluar parti itu selepas 2015 dan kemudiannya menubuhkan Amanah.

Pada masa sama, sajak tersebut turut menyuarakan nada bimbang dengan kemenangan pihak yang disifatkan pendeklamasi sebagai "perosak agama" pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Pada PRU-14 lalu, Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan antara PKR, DAP, Bersatu dan Amanah julung-julung kali mengalahkan BN.