AG digesa jelaskan pengklasifikasian semula siasatan kes Beng Hock
Kumpulan yang menuntut keadilan bagi kematian Teoh Beng Hock hari ini menggesa penjelasan peguam negara berhubung pengklasifikasian semula siasatan polis berhubung kes berkenaan.
Pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Ng Geok Chee berkata mereka difahamkan bahawa polis membuka semula siasatan kematian Teoh di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan bagi penahanan secara salah.
Ng dalam kenyataannya berkata, pengklasifikasian semula itu bercanggah dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan bahawa seorang atau lebih individu termasuk pegawai SPRM menyebabkan kematian Teoh.
"Ini bertentangan dengan cadangan Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Persatuan Peguam Malaysia bahawa pegawai SPRM terlibat perlu dihukum di bawah Seksyen 304 (Kanun Keseksaan) kerana membunuh secara beramai-ramai agar apabila disabitkan mereka akan dipenjara 30 tahun, dan denda tanpa had.
"Penghakiman Mahkamah Rayuan jelas menyatakan bahawa kecederaan pada leher Teoh terjadi sebelum mendiang jatuh dari bangunan, jadi tidak dapat disanggah hakikat bahawa Teoh dibunuh di pejabat SPRM Selangor.
"Polis perlu menyiasat sama ada pegawai SPRM yang menyebabkan kematian Teoh, dan bukannya mengelak dari menyiasat dan hanya menyiasat dari aspek prosedur pegawai SPRM," kata Ng.
Menurutnya, pihak mereka mendapat tahu mengenai pengklasifikasian siasatan itu selepas polis memanggil adik Beng Hock, Lee Lan minggu lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 342.
Polis dikatakan mahu mengambil keterangan Lee Lan, namun peguam Lee Lan menghubungi polis untuk membuat semakan. Polis kemudian dikatakan memaklumkan bahawa Lee Lan tidak perlu memberi keterangan buat masa ini.
Lee Lan mengulangi kenyataan Ng dan mengkritik pengklasifikasian kes kematian adiknya.

