Keputusan pemegang saham untuk menolak empat daripada 12 resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV Holding Berhad (FGV) semalam adalah isyarat hilangnya kepercayaan mereka terhadap ahli lembaga pengarah sedia ada, kata sumber industri.

“Isyarat ini jelas. Kami mahu mereka (ahli lembaga pengarah) buat kerja. Jika tidak sila undur diri atau letak jawatan,” menurut sumber yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Keputusan menolak empat resolusi - tiga daripadanya berkaitan pebayaran yuran pengarah - dibuat oleh tiga pemegang saham utama FGV, iaitu Felda yang menguasai 33.7 peratus, Koperasi Permodalan Felda (KPV) 5 peratus dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 1.25 peratus.

Kata sumber yang adalah pegawai kanan satu daripada entiti tersebut, selain hilang keyakinan, keputusan itu juga boleh menjadi isyarat bahawa pemegang saham mahu ahli lembaga mendahulukan kepentingan syarikat untuk berhak mendapat imbuhan sewajarnya.

Seorang lagi sumber berkata, kekecewaan pemegang saham disebabkan ahli lembaga sentiasa memberi pelbagai alasan dan meletakkan kesalahan mereka kepada pengurusan lama.

“[...] Terdapat projek baru yang dibuat juga tidak menepati aspirasi pemegang saham, [...]’’ katanya.

Resolusi pertama yang ditolak dalam mesyuarat semalam ialah pembayaran yuran para pengarah bagi tahun kewangan 31 Disember 2018 bernilai RM2,546,044.42.

Resolusi kedua yang ditolak ialah pembayaran sebahagian yuran para pengarah berbayar mulai dari 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020 berjumlah RM1,178,400 turut ditolak.

Resolusi ketiga yang ditolak pula ialah pembayaran faedah-faedah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020.

Manakala resolusi keempat yang ditolak ialah bagi pemberian kuasa kepada para pengarah untuk mengumpukkan dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat, 2016.

Bagaimanapun, sebahagian bayaran kepada pengarah membabitkan resolusi pertama yang ditolak telah pun dilakukan hampir RM1 juta.

Semalam, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), berkuat kuasa 30 Jun ini.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kemudian memaklumkan yang tindakan Megat Zaharuddin meletakkan jawatan adalah disebabkan masalah kesihatan.

Perletakan jawatannya itu mengejutkan ramai pihak memandangkan tidak sampai setahun beliau menerajui Felda.

Megat Zaharuddin dilantik menjadi pengerusi Felda pada 27 Julai 2018 bagi menggantikan Shahrir Samad yang meletak jawatan pada 14 Mei 2018.