Laporan: Ambil alih lebuh raya tak dicadangkan perunding bebas
Kertas kajian Kementerian Kerja Raya (KKR) berkaitan lebuh raya tol di seluruh negara tidak mencadangkan Putrajaya mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya yang dimiliki Gamuda Bhd.
Memetik kenyataan sumber, The Malaysian Insight melaporkan, kajian tersebut sebaliknya mengusulkan mekanisme lain untuk mengurangkan beban tol ke atas pengguna lebuh raya.
"Laporan kementerian tidak mengesyorkan (pengambilalihan)," sumber itu dilaporkan sebagai berkata.
Portal itu difahamkan, laporan kajian mengenai pengambilalihan itu diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri pada 13 Jun lalu.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata laporan kajian cadangan pengambilalihan mana-mana lebuh raya telah diserahkan kepada kabinet untuk tindakan lanjut.
Baru turut berkata keputusan kajian yang dijalankan perunding bebas bertauliah itu akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Empat lebuh raya yang akan diambil alih oleh kerajaan ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Terowong Smart.
Tol tak naik lagi
Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya dengan harga "enterprise value" atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.
Februari lalu, kerajaan memberitahu Putrajaya sedang berbincang dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat lebuh raya yang saham majoritinya dipegang syarikat terbabit.
Tindakan kerajaan itu menimbulkan rasa sangsi pembangkang. Senator Khairul Azwan Harun mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya tertentu yang kontraknya sudah hampir tamat.
Memetik Lebuhraya Shah Alam (Kesas) sebagai contoh, senator mewakili Umno itu berkata konsesi bagi lebuh raya berkenaan dijangka tamat dalam tempoh empat tahun.
Selain itu, katanya, kadar tol LDP tidak lagi akan dinaikkan meskipun konsesinya hanya akan tamat pada 2030.
"Pada Ogos 2017, disahkan bahawa kadar tol lebuh raya seperti LDP tidak lagi akan dinaikkan.
"Jadi agak mengelirukan apabila kerajaan menakutkan rakyat dengan mengatakan bahawa mereka mengambil alih konsesi berkenaan bagi menyelamatkan rakyat daripada kenaikan kadar tol,” kata Khairul.

